KUALA LUMPUR – Umurnya baru enam tahun tetapi sudah menderita sakit kanser buah pinggang tahap empat.
Ahmad Maulana Md. Roslin sudah menderita sakit lebih setahun lalu dan kini dirawat menggunakan kemoterapi.
Salah satu buah pinggangnya sudah dibuang melalui pembedahan tetapi kini satu lagi sudah mula dijangkiti kuman kanser termasuk ususnya.
Perkara itu cukup membimbangkan bapanya, Md. Roslin Kamaruddin, 34, memandangkan keadaan anak sulungnya itu terpaksa menderita semasa usia muda.
Ketika ditemui di rumahnya di Pangsapuri City Heights, Sungai Chua, Kajang, Md. Roslin menyatakan bebanannya bertambah sukar disebabkan faktor kewangan memandangkan dia tidak mempunyai pekerjaan tetap dan bergantung kepada upah melakukan kerja-kerja tertentu daripada orang ramai manakala isterinya, Aguslina Binti Suhaimi, 31, bekerja sambilan sebagai kedi di Saujana Impian.
“Tidak ada mana-mana ibu bapa yang sanggup melihat anak mereka menderita, namun itulah saya dan isteri terpaksa hadapi. Anak saya ini telah menjalani pembedahan membuang satu daripada dua buah pinggangnya, bagaimanapun doktor mengesahkan sel kanser telah merebak ke bahagian usus dan satu-satunya buah pinggang yang ada.
“Anak saya (Ahmad Maulana) kalau diikutkan seorang budak yang lincah dan petah berkata-kata…sedih melihat dia dalam keadaan begini. Saya dan isteri setiap kali berusaha untuk mencari sumber kewangan untuk membiayai rawatan dia serta makan minum sekeluarga, kadang kalanya sulit juga,” katanya baru-baru ini.
Tambah Md. Roslin, dia mempunyai seorang lagi anak lelaki berusia tiga tahun, Ahmad Ashyraf Md. Roslin namun tetapi tidak mengalami nasib yang sama seperti Ahmad Maulana yang perlu mendapat rawatan kemoterapi di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia.
Bagaimanapun, beliau tidak mendapat bantuan daripada mana-mana pihak melainkan bantuan sewa rumah daripada Lembaga Zakat Selangor (LZS) memandangkan Ahmad Maulana masih belum mendapat status warganegara dan MyKid walaupun dilahirkan di negara ini.
“Ini kerana selepas Ahmad Maulana dilahirkan, ibunya membawa pulang ke Medan, Indonesia untuk berpantang di sana. Jadi pendaftaran dengan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dibuat lewat. Saya sudah membuat permohonan dengan JPN tapi mungkin ambil masa, jadi sukarlah untuk Ahmad Maulana mendapat bantuan dari kerajaan,” jelasnya.
Orang ramai yang ingin bersama-sama meringankan bebanan keluarga Md. Roslin boleh bersama-sama menyalurkan sumbangan menerusi akaun CIMB bernombor 7006413748 (Md Roslin bin Kamaruddin) atau menghubungi terus di talian 018-976 5129. – MalaysiaGazette