Home Nasional Dong Zong diberi amaran keras

Dong Zong diberi amaran keras

KAJANG – Satu pertubuhan bukan kerajaan (NGO) hari ini memberikan amaran keras kepada Persekutuan Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) untuk menamatkan penolakan terhadap pelaksanaan tulisan Jawi di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT).

Menurut Timbalan Pengerusi Gerakan Pembela Ummah (UMMAH), Mohd Zai Mustafa, satu kongres rakyat akan digerakkan secara besar-besaran sekiranya Dong Zong masih meneruskan kongres Jawi yang dibatalkan hari ini.

“Kami nak beri amaran kepada Dong Zong dan mana-mana pihak sekiranya masih diteruskan lagi niat untuk membantah Jawi ini, kita akan mengadakan kongres rakyat secara besar-besaran di ibu negara dalam masa terdekat.

“Malah kita akan adakan himpunan yang lebih besar daripada ICERD untuk kita mengatakan bahawa majoriti rakyat dalam negara ini mahukan Bahasa Melayu terus dipegang sengau bahasa rasmi dalam semua urusan termasuk pendidikan.

“Dong Zong jangan cuba naikkan lagi isu-isu kerana ia merupakan isu yang mengajak rakyat menentang undang-undang dan perlembagaan dalam negara kita,” katanya dalam satu sidang media berhampiran Kolej New Era, tempat dimana Kongres Jawi anjuran Dong Zong sepatutnya diadakan.

Mereka yang tiba jam 10.30 pagi bagaimanapun tidak dibenarkan berada di perkarangan kolej itu atas arahan polis.

Mohd Zai bersama 100 NGO hari ini hadir di perkarangan Kolej New Era bagi berhimpun menentang kongres yang dibuat oleh Dong Zong.

Antara yang turut hadir adalah Pengerusi Pertubuhan Semangat Gelombang Rakyat Malaysia (Segar), Ellie Suriati (gambar bawah).

Dalam pada itu, Ellie berkata tindakan Dong Zong yang menganjurkan kongres Jawi adalah satu tindakan rasis.

Malah katanya, sekiranya ia dibuat juga, tindakan itu jelas melanggar Perlembagaan Persekutuan.

“Tulisan Jawi tidak menjadikan kami Islam sekiranya tidak mendapat hidayah itu. Tulisan itu yang hendak diperkenalkan di SJKC dan SJKT hanyalah seni, jadi apabila Dong Zong menolak satu seni dalam tulisan maka ia datang daripada satu pemikiran yang jumud, kolot dan terkebelakang.

“Kami merasakan pihak Dong Zong yang mengambil satu inisiatif mengajak NGO menyertai mereka untuk menolak pemerkasaan tulisan Jawi adalah tindakan rasis dan melanggar Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Suasana di perkarangan Kolej New Era dekat Dong Zong masih tenang tanpa kelibat mana-mana peserta bantuan kongres Jawi anjuran Dong Zong. -MalaysiaGazette