Home Nasional Pelajar pintar Terengganu jalankan kajian peringkat doktor falsafah

Pelajar pintar Terengganu jalankan kajian peringkat doktor falsafah

Muhammad Amir Rafiq Mohd Rafee merupakan pelajar Kolej GENIUS@Pintar Negara.

KUALA NERUS – Jika remaja seusianya baharu sahaja mendapat keputusan Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3), seorang kanak-kanak pintar dari Terengganu telah pun menjalankan kajian di peringkat doktor falsafah (PhD), di sebuah universiti di Jerman.

Mempunyai pemikiran seperti orang dewasa yang berusia 24 tahun, Muhammad Amir Rafiq Mohd Rafee, 15, yang berasal dari Kemaman berkata, beliau beruntung kerana terpilih oleh Universiti Leibniz di Hannover, Jerman, untuk menjalankan kajian dalam bidang Sains Komputer Teoritikal.

“Saya minat bidang sains komputer sejak berumur 12 tahun lagi. Bagi saya bidang ini mencabar tetapi seronok. Sebab itu saya mahu mengkaji lebih dalam bidang ini.

“Mujurlah universiti itu (Universiti Leibniz) terima penyelidik yang bawah umur seperti saya. Mereka pun tidak kisah saya belum mempunyai sebarang ijazah, kerana apa yang penting bagi mereka adalah kajian yang saya jalankan itu,” katanya yang berada di Universiti Leibniz selama dua bulan bermula September lepas dengan ditemani bapanya Mohd Rafee Harith.

Pelajar Kolej GENIUS@Pintar Negara itu ditemui pada Seminar Kaedah Penyelidikan Untuk Anak-Anak Genius Terengganu, di Universiti Malaysia Terengganu di sini hari ini.

Seminar yang menghimpunkan kira-kira 70 remaja pintar dari Terengganu itu, diadakan bagi memberi pendedahan dan menggalakkan mereka untuk lebih banyak menjalankan kajian dan penyelidikan, khususnya berkaitan Terengganu.

Selain itu antara pencapaian yang membanggakan adalah Muhammad Amir Rafiq terpilih mewakili Malaysia dan menjadi peserta termuda dalam ‘The 2019 International Philosophy Olympiad’ di Rom, Itali, pada Mei lepas.

Anak sulung dari dua beradik itu bercadang untuk mengambil peperiksaan peringkat A-Level, dan akan memohon untuk melanjutkan pelajaran dalam Ijazah Sarjana Muda di mana-mana universiti di Amerika Syarikat, tahun hadapan.

Ketika ditanya mengenai kehidupannya sebagai seorang yang pintar, Muhammad Amir Rafiq berkata beliau menganggap kebolehan berfikirnya itu sebagai satu anugerah Tuhan, yang akan memberi manfaat bukan setakat untuk diri sendiri malah kepada masyarakat juga.

“Antara kenangan semasa kecil yang saya masih ingat adalah ketika berumur empat tahun, saya suka membaca ensiklopedia perubatan milik datuk saya. Saya juga mempunyai kelebihan untuk ‘scan’ dan ingat setiap fakta yang dibaca,” katanya.

Dalam pada itu bapanya, Mohd Rafee, 50, berkata beliau mula mengesan kelebihan anaknya itu, ketika Muhammad Amir Rafiq boleh membaca dan menulis semasa berusia tiga tahun.

“Ketika dia berusia dua tahun setengah saya ajar dia ABC hanya sekali sahaja. Esoknya dia terus tahu dan ingat semua abjad dari A hingga Z. Dari situ saya nampak anak saya ini ada kelebihan jadi saya hanya pantau dia.

“Dia juga mampu ‘troubleshoot’ komputer seawal usia lima tahun. Tetapi agak memerlukan kos yang tinggi kerana dia tidak bermain mainan seperti kanak-kanak lain. Dia hanya baca buku dan bermain dengan gajet,” katanya yang bekerja sendiri.

Namun ibunya Azriza Abd Latif, 43, yang merupakan pekerja swasta, mengakui anaknya itu mempunyai kelemahan terutama melibatkan kemahiran insani (soft skills) seperti kemahiran berkomunikasi dan pergaulan sesama rakan sebayanya.

“Perkara teknikal memang sekali cakap sahaja dia ingat. Tetapi melibatkan ‘soft skills’ seperti perlu bersalaman dengan orang, kita kena ingatkan dia banyak kali. Dia juga kurang kawan yang sebaya dengannya, kerana pemikiran dia yang lapan atau sembilan tahun lebih dewasa. Jadi kami perlu sentiasa pantau dia,” katanya.

Selain itu, adik Muhammad Amir Rafiq, Aina Batrisyia, 13, turut mempunyai kelebihan pemikiran lima tahun lebih ke hadapan dari umur sebenarnya, dan juga merupakan pelajar di Kolej GENIUS@Pintar Negara.

— BERNAMA