KUALA LUMPUR – Ambulans yang digunakan untuk gimik satu majlis perkahwinan di Kuantan bukan milik kerajaan.
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, ia tidak ada kena mengena dengan dakwaan penyalahgunaan ambulans kerajaan.
“Terdapat satu video yang menjadi tular di media sosial dengan tuduhan penyalahgunaan ambulans untuk satu majlis perkahwinan. Dalam majlis tersebut, dua ambulans digunakan untuk membawa pengantin lelaki dan perempuan ke dewan majlis. Ia merupakan gimik majlis dan telah berlangsung di Kuantan.
“Pihak KKM mendapati bahawa kedua-dua ambulans yang digunakan adalah ambulans swasta dan majlis tersebut adalah majlis peribadi, bukan majlis rasmi KKM,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Noor Hisham, pihak pengantin telah menyewa ambulans terbabit dan engantin lelaki adalah seorang Penolong Pegawai Perubatan (PPP) yang baru selesai program penempatan wajib dan dalam ‘gimik’ tersebut pengantin tiba dalam ambulans yang disewa.
Dalam gimik itu, pengantin lelaki bertindak sebagai PPP yang membawa pengantin perempuan dari dalam ambulans dan kemudiannya menuju ke arah pentas persandingan.
“PPP berkenaan berhasrat untuk mengabdikan kenangan bagi perkahwinan beliau dengan menggunakan ambulans dan pakaian bertugas beliau.
“Hakikatnya, petugas-petugas ini bangga dalam tugas mereka dan menggunakan majlis perkahwinan untuk mempamerkan perasaan ini dalam majlis bersejarah mereka,” ujarnya lagi.
Justeru, pihaknya berharap masyarakat terutamanya dalam media sosial tidak tersalah membuat anggapan kerana ambulans yang digunakan adalah bukan ambulans KKM dan disewa dari pihak swasta.
“Majlis perkahwinan adalah majlis persendirian petugas PPP tersebut dan berlangsung dengan cuti yang diluluskan.
“Pihak kami mengucapkan selamat pengantin baru kepada pasangan pengantin baru tersebut dan berharap pihak masyarakat dan media sosial mendapat gambaran yang jelas akan fakta sebenar tentang perkara ini,” katanya.- MalaysiaGazette