Home Ekonomi Petronas selesai beli 50 peratus ekuiti Tartaruga Verde, Espadarte

Petronas selesai beli 50 peratus ekuiti Tartaruga Verde, Espadarte

KUALA LUMPUR – Petronas Petróleo Brasil Ltda (PPBL), anak syarikat Petroliam Nasional Bhd (Petronas), selesai mengambil alih 50 peratus ekuiti dalam medan pengeluaran Tartaruga Verde (Konsesi BM-C-36) dan Modul III medan Espadarte (Konsesi Espadarte) yang kedua-duanya terletak di perairan laut dalam Lembangan Campos di luar pesisir Brazil.

PPBL memeterai perjanjian jual beli dengan Petróleo Brasileiro S.A. (Petrobras) yang juga syarikat petroleum multinasional Brazil pada 25 April, 2019.

Petrobras yang merupakan pengendali, adalah pemegang baki 50 peratus kepentingan tersebut.

Dalam satu kenyataan hari ini, Petronas berkata pemeteraian perjanjian pemuktamadan yang turut menandakan selesainya pengambilalihan berkenaan, telah dilakukan di Rio De Janeiro, Brazil, pada 27 Dis, 2019.

Naib Presiden Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Huluan Petronas, Adif Zulkifli menyifatkan penyelesaian pengambilalihan kepentingan Tartaruga Verde and Module III Espadarte selain kejayaan memenangi tiga blok penerokaan minyak dalam pusingan bidaan di Brazil baru-baru ini sebagai bukti kemajuan usaha Petronas mengembangkan perniagaannya di Amerika Selatan.

“Kami turut teruja dengan kerjasama baharu dengan Petrobras dalam usaha memenuhi aspirasi tenaga Brazil,” katanya.

Selain aspek pengembangan portfolio di Amerika Selatan, Petronas juga menandatangani enam kontrak perkongsian pengeluaran (PSC) baharu iaitu masing-masing empat di Malaysia dan dua di Gabon selain mengambil alih dua blok di luar pesisir Mesir.

Ini seiring dengan strategi pertumbuhan tiga teras Petronas untuk meraih peluang di kawasan lembangan yang produktif bagi pengembangan perniagaan utamanya dalam usaha penjanaan tunai di masa depan, katanya.- BERNAMA