KUALA TERENGGANU – Masalah kebocoran dialami Masjid Kristal di Taman Tamadun Islam di sini yang berlarutan sejak dua tahun lepas akan diselesaikan secepat mungkin, kata Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Budaya dan Teknologi Maklumat negeri Ariffin Deraman.
Beliau menjelaskan, proses baik pulih telah dijalankan sejak awal tahun lepas dan kontraktor telah bertukar ganti namun masalah tetap tidak selesai kerana pembaikan hanya dilakukan dalam skala kecil.
“Untuk memastikan masalah itu selesai sepenuhnya, kubah yang ada perlu dicabut, diletak gam baharu dan kemudian dipasang semula namun kosnya terlalu tinggi yang dianggarkan RM2 juta,” katanya kepada pemberita hari ini.
Ariffin berkata, kerajaan negeri sedang berbincang dengan sebuah syarikat multinasional untuk membiayai proses pembaikan masjid itu sebagai satu daripada program tanggungjawab sosial korporat (CSR) dan perkembangannya adalah positif.
Masjid Kristal yang dirasmikan pada Februari 2008 adalah sebahagian komponen tarikan pelancong di Taman Tamadun Islam selain Taman Monumen, Restoran B Beteng, Pusat Konvensyen dan pakej menyusuri Sungai Terengganu.
Namun, masalah kebocoran menyebabkan masjid itu terpaksa ditutup kepada pelancong dan hanya boleh melihat keindahan luarannya sahaja dan ini telah menimbulkan rungutan dalam kalangan pelancong. – Bernama