LABUAN – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Labuan telah menghantar laporan berhubung dakwaan konspirasi dalam proses tender Pelabuhan Labuan kepada ibu pejabatnya untuk tindakan lanjut.
Pengarahnya, PPj Mohd Yusizzudin Mohd Yusof berkata, laporan itu dihantar tidak lama selepas Operator Pelabuhuan Labuan Liberty, Labuan Liberty Port Management Sdn Bhd (LLPM) membuat laporan pada 17 Disember mengenai dakwaan konspirasi dalam proses membuat keputusan tender.
“Oleh kerana ia melibatkan isu besar, kita perlu mendapatkan nasihat dan arahan selanjutkan dari ibu pejabat kami,” katanya kepada Bernama hair ini.
“Kita tidak berputus asa, kerana kita dapat merasakan proses tender itu mungkin dilaksanakan secara tidak telus, jadi lebih baik kita dapatkan bantuan dari SPRM untuk membetulkannya… itu sebabnya saya bercakap dengan pengarah SPRM Labuan berhubung status laporan kami,” kata pengurus besar LLPM Abd Ghani Paijan hari ini.
LLPM turut membuat satu laporan berhubung keputusan tender pelabuhan yang telah ‘bocor’, sedangkan keputusan itu belum diumumkan secara rasmi oleh Lembaga Pelabuhan Labuan (LPA).
Pengerusi Eksekutif LLPM, Datuk Seri Mohd Alias Abd Rahman berkata keputusan tender yang bocor, yang menjadi tular susulan laporan berita oleh sebuah akhbar tempatan pada 14 Disember, telah mengakibatkan kekeliruan serta rasa panik yang tidak perlu kepada pihak pengurusan, petugas, pelanggan dan pengguna pelabuhan.
“Kami juga merasakan telah diberikan layanan yang tidak adil dalam proses tender… setelah menjadi operator pelabuhan sejak 1998, kami melabur jutaan ringgit tanpa geran kerajaan, dan kini selepas LPA (badan penyelaras pelabuhan) ditubuhkan, kami seharusnya dibimbing dari segi operasi, dan bukannya dihukum menerusi proses tender,” katanya.
Pada 17 Disember LPA dalam satu kenyataan menafikan sebarang keputusan telah dibuat mengenai operator terbaru Labuan Liberty Wharf. – Bernama