MAIORSK CHECKPOINT, Ukraine – Angkatan tentera Ukraine dan puak pemisah yang disokong Rusia di Ukraine timur melakukan pertukaran banduan hari ini, langkah yang disasar untuk menamatkan pergolakan yang telah berlanjutan selama lima tahun.
Pertukaran banduan itu merupakan sebahagian daripada perjanjian yang dilakukan pada sidang kemuncak pemimpin Ukraine, Rusia, Jerman dan Perancis pada awal bulan ini, lapor AP.
Pegawai puak pemisah dan pejabat Presiden Ukraine mengesahkan pertukaran banduan telah bermula.
Sejumlah 142 banduan dijangka ditukar di pos kawalan yang terletak berhampiran Horlivka di Ukraine timur – 55 orang dilepaskan oleh puak pemisah dan 87 orang dibebaskan oleh Ukraine.
Kali terakhir pertukaran banduan antara puak pemisah dan tentera Ukraine dilakukan pada Disember 2017 dengan 233 puak pemisah yang ditawan ditukar dengan 73 warga Ukraine.
Pergolakan di timur Ukraine sejak 2014 telah meragut lebih 14,000 nyawa. – Agensi