Home Nasional Anak sasterawan negara kecewa gambar orang lain pada kulit buku Tulang-Tulang Berserakan

Anak sasterawan negara kecewa gambar orang lain pada kulit buku Tulang-Tulang Berserakan

Karya Sasterawan Negara, Usman Awang

KUALA LUMPUR – Haslina Usman kecewa dan amat sedih apabila karya bapanya Sasterawan Negara, Usman Awang bertajuk ‘Tulang-Tulang Berserakan’ diterbitkan dengan paparan gambar orang lain.

Beliau berkata, paparan gambar seumpama itu menunjukkan Dewan Bahasa dan Pustaka serta Kementerian Pendidikan tidak bertanggungjawab dan telah menganiaya karya seorang sasterawan negara.

“Saya amat kecewa dan amat sedih atas ketidaktanggungjawaban pihak Dewan Bahasa dan Pustaka dan Kementerian Pendidikan Malaysia menganaiya penghormatan dan karya Sasterawan Negara Usman Awang dengan memaparkan gambar orang lain pada kulit buku “Tulang-Tulang Berserakan” terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka.

“Waris mohon perkara ini diselesaikan secepat mungkin,” katanya.

Hantaran tersebut menerima pelbagai reaksi termasuk Sasterawan Negara, Datuk Dr Zurinah Hassan.

Haslina ketika menjawab komen Zurinah bertanya, adakah sasterawan-sasterawan negara akan membantu mengetengahkan perkara tersebut.

Beliau juga kesal kerana buku itu diterbitkan tanpa memaklumkan kepada waris Allahyarham.

Dalam hantaran sebelum itu, Haslina turut mempersoalkan gambar siapakah di kulit buku tersebut.

Allahyarham Usman dianugerahkan Sasterawan Negara yang ketiga pada tahun 1983.

Tulang-Tulang Berserakan dipilih sebagai Jejak Novel Merdeka sebagai karya sastera yang disarankan oleh khalayak sasterawan, penulis dan penerbit, sekali gus wajar dijadikan novel wajib baca.

Penerima Anugerah Penulisan Asia Tenggara (SEA Write), Abdul Ghafar Ibrahim atau lebih dikenali sebagai Agi menyifatkan buku itu sebagai novel antipenjajahan yang menanam semangat patriotisme dan memperjuangkan nilai keamanan yang menjadi inti kepada rukun kemanusiaan sejagat.

Jelasnya, babak watak utama menyaksikan kematian rakan pasukannya di tangan pengganas komunis menjadi detik penting dalam novel itu. – MalaysiaGazette

MalaysiaGazette sedang mendapatkan ulasan Dewan Bahasa dan Pustaka. – MalaysiaGazette