Home Nasional Guan Eng sambut baik cadangan potong elaun menteri, serah Kabinet putuskan

Guan Eng sambut baik cadangan potong elaun menteri, serah Kabinet putuskan

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng hadir pada Majlis Penutup Festival Putrajaya LIFT (Literacy In Financial Technology) 2019 anjuran Kementerian Kewangan dengan kerjasama Bank Negara Malaysia di Kementerian Kewangan, Putrajaya. foto NOOREEZA HASHIM, 30 DISEMBER 2019.

PUTRAJAYA- Cadangan supaya elaun menteri dan timbalan menteri dipotong bagi mengurangkan beban kewangan kerajaan haruslah diputuskan oleh kabinet, demikian menurut Menteri Kewangan Lim Guan Eng.

Jelasnya, selaku Menteri Kewangan katanya, beliau sangat mengalu-alukan sebarang langkah penjimatan namun perlu menghormati rakan-rakannya yang lain.

“Sebagai Kementerian Kewangan (kami melihat) sebarang langkah penjimatan adalah sesuatu yang baik.

“Jika kita lihat ada penjimatan (dengan pemotongan elaun), saya memang mengalu-alukan sebagai Menteri Kewangan.

“Tetapi (langkah) ini melibatkan menteri-menteri lain dan saya percaya perkara ini harus diputuskan oleh kabinet kerana bukan saya yang memutuskannya.

“Saya menghormati rakan-rakan Kabinet lain,” katanya dalam sidang media selepas menutup program LIFT di sini hari ini.

Selepas kerajaan mengumumkan untuk memotong Bayaran Insentif Perkhidmatan Kritikal (kemudian menangguhkan keputusan tersebut) baru-baru ini, banyak pihak termasuk Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman sendiri mencadangkan supaya elaun ahli politik dan menteri Kabinet dipotong.

Baca: Syed Saddiq pulangkan elaun, protes pekeliling JPA

Baca: Pemansuhan elaun kritikal hanya babitkan pelantikan mulai 1 Januari 2020

Kerajaan membuat keputusan untuk memotong elaun kritikal bagi mengurangkan beban kewangan yang ditanggungnya.

Ini kerana menurut Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), kerajaan terpaksa menanggung lebih RM1 bilion bagi membayar BIPK dan elaun yang diperkenalkan bagi menarik lebih ramai individu terlibat dalam bidang kritikal sudah tidak lagi relevan, katanya.- MalaysiaGazette