KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bertegas tidak bertoleransi dengan serangan tahanan dan setiap dakwaan itu akan diteliti serta disiasat dengan rapi sebelum tindakan diambil.
Itu kata Ketua Pesuruhjaya SPRM, Latheefa Koya berhubung dakwaan yang di buat oleh tiga anggota polis yang cedera selepas dipukul pegawai suruhanjaya itu.
Kata Latheefa, SPRM meletakkan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat untuk menangkap dan menahan mana-mana suspek.
“Dalam kes ini, anggota-anggota polis yang membuat aduan sedang disiasat oleh SPRM atas dakwaan melakukan pemerasan terhadap suspek penyalahgunaan dadah.
“Penyiasatan ini merupakan sebahagian daripada peningkatan operasi oleh SPRM Selangor susulan dakwaan kegiatan pemerasan yang melibatkan anggota polis.
“Tiada toleransi bagi apa jenis serangan dalam tahanan. Semua tuduhan berkaitan serangan dalam tahanan akan diteliti secara serius dan kerjasama penuh akan diberikan kepada mana-mana badan penyiasat,” katanya sebentar tadi.
Dalam pada itu, Latheefa juga mendedahkan pegawai SPRM terbabit telah membuat laporan polis yang menyatakan bahawa dakwaan serangan dalam tahanan terhadap anggota-anggota polis tersebut adalah palsu.
“SPRM akan memberi kerjasama sepenuhnya dengan sebarang penyiasatan polis terhadap laporan tersebut,” ujarnya.
Dalam pada itu, MalaysiaGazette cuba mendapatkan ulasan Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berhubung isu tersebut.
Seramai tiga anggota polis mendakwa cedera dipukul pegawai SPRM ketika hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM Selangor di Shah Alam baru-baru ini.
Ketiga-tiga anggota daripada Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Sungai Buloh berumur 24, 25 dan 26 tahun itu hadir di pejabat SPRM bagi membantu siasatan kes yang dikendalikan suruhanjaya tersebut.
Bagaimanapun, mereka mendakwa telah ditumbuk, ditampar serta ditendang ketika proses mengambil keterangan oleh pegawai SPRM dalam sebuah bilik pada 24 dan 26 Disember lepas.
Laporan polis kemudiannya dibuat oleh ketiga-tiga anggota pada 27 Disember lalu, berkenaan pegawai SPRM melakukan kekerasan ketika menjalankan proses merakam percakapan.
Ketua Polis Selangor, Datuk Noor Azam Jamaludin ketika dihubungi mengesahkan yang tiga anggota itu membuat laporan berkenaan. –MalaysiaGazette