KUALA LUMPUR – MIDF Research mengunjurkan harga pengeluar akan meningkat semula kepada inflasi 2.9% pada 2020 terutamanya disebabkan oleh langkah menghapuskan had harga bahan api domestik.
Firma penyelidikan itu dalam laporan kajian semula ekonominya berkata peningkatan kos itu daripada komponen makanan dan utiliti, dan akan menyumbang kepada tekanan inflasi secara keseluruhan pada masa depan.
Semalam, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Saifuddin Nasution Ismail mengumumkan pelaksanaan Program Subsidi Petrol (PSP), yang dijadualkan bermula Januari 2020, tidak diteruskan sehingga ke satu masa yang akan diumumkan kemudian.
“Tekanan inflasi (dijangka) meningkat. Memandangkan petunjuk utama perubahan harga 3-6 bulan di peringkat pengguna, indeks harga pengeluar (IHPR) yang terkini mengunjur inflasi dijangka meningkat secara berperingkat mulai 2020.
“Di sebalik penyusutan keseluruhan IHPR bagi pembuatan, IHPR bagi pembuatan produk makanan mencatat pertumbuhan negatif 0.5% bagi tahun ke tahun. Ia meningkat sejak Disember 2018,” menurut MIDF Research.
MIDF Research menjangka ia disebabkan oleh gabungan 2 faktor iaitu penyusutan ringgit dan kedudukan Malaysia sebagai pengimport bersih makanan.
“Memandangkan barangan makanan penyumbang utama kepada kelompok Indeks Harga Pengguna Malaysia, kami menjangka ia akan mempunyai impak signifikan kepada keseluruhan inflasi,” katanya.- BERNAMA