BANDUNG- Syarikat aeroangkasa milik kerajaan Indonesia, Dirgantara Indonesia memperkenalkan dua prototaip pesawat tanpa pemandu (UAV) beraltitud sederhana berketahanan lama (MALE UAV) baharu yang direka untuk kegunaan awam serta ketenteraan.
Dron berkenaan akan membantu kerajaan mengekang ancaman pengganas dan memantau potensi ancaman termasuk penyeludupan, terorisme dan kecurian sumber asli, kata syarikat berkenaan.
“Penerbangan pertamanya dijangka pada tahun depan. Setakat ini, kami masih lagi dalam proses pembangunan pengilangan,” kata Pengarah Presiden Dirgantara, Elfien Goentoro di sini.
MALE UAV berkenaan memerlukan landasan sepanjang 700 meter untuk berlepas dan mendarat.
Ia mampu terbang setinggi 20,000 kaki pada kelajuan terpantas 235 kilometer sejam.
Ia juga mampu berada di udara sehingga 30 jam.
Pesawat tersebut juga akan dibangunkan dengan misil, kata Elfien.
Dirgantara yang juga pengeluar pesawat kecil juga sedang membangunkan dua prototaip bagi ujian penerbangan dan struktur di Agensi Penilaian dan Aplikasi Teknologi (BPPT) dengan matlamat untuk mendapatkan pensijilan menjelang 2024.
Untuk kegunaan militari pula, dron berkenaan perlu mendapat pensijilan berasingan yang akan diperolehi daripada Kementerian Pertahanan menjelang 2021.
MALE UAV juga disasarkan untuk menangani isu-isu yang tidak berkesudahan seperti kebakaran hutan. Ini dilakukan menerusi pemantauan hutan dan darat.
“Kebakaran hutan berlaku setiap tahun dan memerlukan pemantauan berterusan dari segi awan, iklim, titik panas dan paras air,” kata Ketua BPPT Hammam Riza.
Radar apertur sintetiknya (SAR) mampu mengesan kandungan air sehingga 30cm di bawah paras permukaan.
Tanah yang dikesan memerlukan kelembapan akan disiram bagi mengelakkan berlakunya kebakaran hutan dan titik panas, kata Hammam lagi.- Agensi