Home Politik Ini kerajaan retorik guna air liur sahaja, jangan terlalu berharap – MIC

Ini kerajaan retorik guna air liur sahaja, jangan terlalu berharap – MIC

Veeran

KUALA LUMPUR – Jelas sekali apabila bab bercakap retorik, kerajaan Pakatan Harapan (PH) memang menonjol.

Bagaimanapun apabila tiba masa untuk melaksanakan apa yang telah dijanjikan seperti yang terkandung dlam manifesto, mereka juga antara yang paling banyak membuat pusingan U atau terus ghaib.

Brikutan itu, Ahli Majlis Tertinggi MIC Pusat (CWC), Veeran Muniandy, tidak terkejut dengan pengumuman penangguhan Program Subsidi Petrol (PSP) yang sepatutnya bermula esok.

Kata Veeran yang juga Timbalan Ketua MIC Bahagian Taiping, kerajaan PH yang didominasi oleh pimpinan barisan pembangkang sejak lebih 60 tahun hanya tahu bercakap dan berjanji atas angin sahaja, untuk merealisasikannya adalah mustahil.

“PSP ini hanya satu daripadanya. Saya pasti semua janji-janji serta pelaksanaan inisiatif lain juga akan terbantut separuh jalan. Sudah hampir 20 bulan PH menerajui negara, apa hasilnya? Habuk pun tiada.

“Ingat lagi cerita kereta terbang yang kononnya Wawasan 2020 itu? Akhirnya hanya jadi bahan jenaka. PTPTN, Lynas, penempatan matrikulasi, pendidikan percuma, pemansuhan tol, mansuh GST ganti SST tapi harga tidak dapat diturunkan, malah lebih mahal lagi. Harga minyak?

“Lagi banyak rumah ibadat dirobohkan, lebih ramai yang ditangkap bawah Sosma sedangkan individu itu juga bantu kerajaan PH menang besar pada PRU lepas. Reformasi apa yang dapat dilakukan? Bagaimana pula dengan media? Banyak sangat syarikat tutup dan beribu sudah hilang kerja.

“Sebenarnya senarai ini panjang, kamu sendiri boleh sambung jika mahu.

“Banyak sangat janji tetapi tidak ada satu yang mampu mereka laksanakan. PSP ini untuk membantu golongan yang sangat memerlukan iaitu M40 dan B40. Apakah kerajaan tidak kasihan? Kamu sebenarnya telah hampakan mereka yang percayakan kamu.

“2019 juga sudah tutup tirai, tapi retorik kamu tidak berkesudahan wahai PH,” katanya.

Sementara itu, Veeran tertarik dengan ‘cerita’ baharu yang mengatakan kenderaan rasmi Menteri dan pegawai tinggi adalah Vellfire dan Honda.

“Saya tidak pasti tentang berita ini, jika benar, saya tidak tahu hendak cakap apa. Pencapaian entah ke mana tetapi keselesaan wakil rakyat ini lebih di utamakan daripada apa yang sepatutnya dilakukan untuk rakyat.

“Ada niat untuk lakukan potongan elaun kritikan tetapi elaun untuk para Menteri dianggap berbaloi. Bukankah kerajaan PH ini jauh lebih prihatin dengan rakyat jika hendak di bandingkan dengan kerajaan dahulu?

“Ingat lagi awal-awal tentang bagaimana para Menteri ini naik kelas ekonomi, naik bas dan segala macam gimik kononnya rakyat lagi penting. Apa sudah jadi kini? Keselesaan anda lebih utama bukan jadi rakyat bagaimana? Kena ikat perut begitu? Sudahlah,” ujarnya.

Veeran mendakwa kerajaan PH hanya layak dilabel sebagai ‘kaki kencing’ dan ‘kaki pusingan U’ kerana tidak ada apa-apa yang mampu mereka lakukan untuk rakyat.

“Paling-paling, mereka hanya boleh terus berjanji sakan seperti biasa. Seperti ucapan Tahun Baharu Setiausaha Agung DAP merangkap Menteri Kewangan, Lim Guan Eng yang menuntut kerajaannya sendiri untuk menunaikan segala janji kepada rakyat sebelum wujud rasa ragu lebih mendalam kelak.

“Selama 20 bulan ini anda tidak mampu berbuat apapun, cuma tuding jari sahaja. Kepada BN, kepada MIC, kepada MCA, UMNO dan banyak lagi. Saya pasti tuding jari ini akan berterusan.

“Hutang negara akan bertambah, ekonomi juga akan merudum apatah lagi adanya para Menteri bijak pandai dalam kabinet ketika ini, pelabur asing juga takut dan sudah mula melarikan diri ke negara lain.

“Tidak cukup itu, ada pula campur tangan kita dengan hal ehwal negara luar. Banyak sangat negara sudah menjauhkan diri dengan kita sebenarnya sejak PH ambil alih, tetapi kita terus disajikan dengan cerita-cerita dongeng oleh PH.

“Juga tidak lupa dengan pelbagai macam skandal pemimpin PH yang sehingga kini masih lagi belum diketahui statusnya. Janji bukan main sakan tetapi sehingga kini kerajaan belum bertindak. Semua kes masih samar-samar atau ghaib sahaja.

“Rakyat juga bukanlah seperti yang di sangka-sangka, pastinya ramai sudah membuka mata mereka, semoga pengajaran daripada ini akan memberikan mesej kepada semua supaya tidak terlalu teruja dengan janji retorik mahupun fitnah sesuka hati pada pilihan raya akan datang,” tegasnya. –MalaysiaGazette