Home Politik Tahun 2020 teruskan ‘mimpi buruk’ kerajaan PH

Tahun 2020 teruskan ‘mimpi buruk’ kerajaan PH

Ismail Sabri Yaakob

KUALA LUMPUR – Tahun 2020 akan terus membawa ‘mimpi buruk’ kepada rakyat Malaysia.

Itu rumusan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

“Walaupun tahun 2020 adalah tahun Wawasan 2020 namun tidak ada harapan baru untuk rakyat. Ekonomi terus lemah, ketidaktentuan politik terus berterusan tanpa noktah, keyakinan pelabur terus menjunam. Pengumuman yang diharap boleh mengubah situasi tidak kedengaran,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ahli Parlimen Bera merangkap Naib Presiden UMNO itu berkata, pelbagai imaginasi yang direka oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang menabur harapan palsu sehinggakan rakyat Malaysia membayangkan tahun 2020 sebagai negara progresif dengan adanya kereta terbang, pendidikan percuma untuk semua golongan, sejuta peluang pekerjaan serta berbagai-bagai lagi imaginasi palsu yang telah direka-reka oleh kerajaan PH.

“Rakyat Malaysia sudah banyak derita akibat dari kegagalan dan kekejaman PH. Bermula dari nelayan, penoreh getah, pesawah, pekebun sawit sehinggalah kakitangan awam kerajaan.

“Kerajaan PH gagal membela nasib rakyat dan perancangan kerajaan PH melalui belanjawan 2020 hanyalah mengutamakan kepentingan kepada pemodal dan pelobi (kroni) yang langsung tidak menguntungkan rakyat.

“Kerajaan PH masih gagal membela nasib nelayan hatta pendapatan warga nelayan juga semakin hari semakin berkurangan. Lebih buruk, bantuan sara hidup nelayan telah pun dikurangkan. Kita tidak nampak sedikit pun sinar untuk warga nelayan menjelang 2020 ini,” ujarnya lagi.

Menurut Ismail Sabri, peneroka sawit pula menempuhi episod malang apabila berhadapan dengan isu boikot daripada negara-negara import seperti India hingga menyebabkan harga sawit mentah tidak malar dan tidak konsisten.

Kenaikan harga sawit di dalam bulan ini yang digembar- gemburkan bukan merupakan kenaikan harga kerana usaha dan tindakan kerajaan PH tetapi kerana kekurangan pengeluaran buah sawit akibat musim melawas iaitu pengeluaran buah sawit berkurangan dan permintaan melebihi penawaran.

“Menteri yang tidak faham tentang industri sawit berbangga dengan keadaan tersebut sedangkan keadaan sebenar adalah pendapatan pekebun sawit tidak berubah kerana hasil tuaian buah sawit yang berkurangan,” katanya.

Kegagalan PH yang terbesar sekali apabila negara Malaysia menghadapi kelembapan ekonomi yang terburuk dalam sejarah dimana hibah Tabung Haji dari 6 peratus cuma tinggal 1.25 peratus, dividen LTAT dari 12.5 peratus diagihkan cuma tinggal 2 peratus.

” Yang hairannya, Boustead Holdings yang merupakan aset terbesar LTAT telah menjual Hotel Royal Chulan di Bukit Bintang kepada syarikat Singapura. Ke mana perginya wang jualan tersebut?

“Terbaru, dividen ASB paling rendah dalam sejarah iaitu dari 7 peratus cuma tinggal 5.5 peratus,” katanya.- MalaysiaGazette