Home Nasional Tiada tanda mutasi pada virus influenza- KKM

Tiada tanda mutasi pada virus influenza- KKM

Noor Hisham Abdullah

KUALA LUMPUR- Hasil pemantauan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) terdapat sedikit peningkatan kes influenza like illness (ILI) dan kadar kemasukan ke wad jangkitan respiratori teruk (severe acute respiratory infection/ SARI) sejak pertengahan Disember 2019.

Bagaimanapun menurut Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah, jumlah peningkatan itu masih berada dalam julat normal dan hampir sama dengan tahun-tahun sebelumnya.

Selain itu, tiada peningkatan ketara bagi wabak jangkitan saluran pernafasan dilaporkan dalam tempoh yang sama.

Tambah beliau, analisa terhadap virus influenza yang dikesan melalui aktiviti pemantauan oleh KKM tidak menunjukkan sebarang tanda mutasi sehingga mencetuskan kemunculan virus influenza yang baharu (novel virus).

“KKM mengambil maklum mengenai sejumlah berita yang tular dalam kalangan pengguna media sosial di Malaysia mengenai peningkatan jangkitan influenza.

“Untuk makluman semua, jangkitan influenza tidak tertakluk kepada keperluan pelaporan / notifikasi di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

“Oleh yang demikian, di peringkat KKM, tiada rekod bagi setiap satu kes jangkitan influenza yang berlaku di Malaysia.

“Walau bagaimanapun, KKM masih memantau aktiviti influenza ini dengan menggunakan data proksi yang direkodkan dari aktiviti survelan melibatkan beberapa lokasi sentinel dikenalpasti dari seluruh negara,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Tambah Dr. Noor Hisham, di negara-negara beriklim tropika, jangkitan influenza dilaporkan sepanjang tahun namun dalam julat yang kecil berbeza dengan negara-negara beriklim sederhana dan sejuk.

Dengan itu, KKM katanya melakukan pemantauan aktiviti influenza sepanjang tahun bagi mengenal pasti trend jangkitan influenza di Malaysia dan mengesan sekiranya terdapat perubahan luar biasa pada virus influenza tersebut.-MalaysiaGazette