Home Nasional Dong Zong sanggah pihak mahu pertubuhan itu diharamkan

Dong Zong sanggah pihak mahu pertubuhan itu diharamkan

Wakil Dong Jiao Zhong,Tan Cheng Suan, bercakap kepada media selepas menyerahkan memorandum mengenai isu tulisan jawi kepada Kementerian Pendidikan Malaysia di Kompleks E8, Kementerian Pendidikan Malaysia, Putrajaya. foto NOOREEZA HASHIM, 02 JANUARI 2020.

PUTRAJAYA – Persekutuan Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) menyanggah desakan sesetengah pihak yang mahu kerajaan mengharamkan pertubuhan itu.

Setiausaha Agungnya, Tan Cheng Suan berkata, pihak-pihak lain tidak wajar mengetengahkan cadangan itu kerana  hanya kerajaan sahaja yang mempunyai kuasa untuk berbuat demikian.

Katanya, apa juga yang dilakukan oleh Dong Zong pada ketika ini adalah mengikut perlembagaan pertubuhan berkenaan dan mereka berhak untuk menuntut berdasarkan kebebasan bersuara.

“Masing-masing ada hak untuk membuat keputuan. Kami memang membuat keputusan di atas perlembagaan Dong Zong. Terpulang kepada kami nak buat keputusan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyerahkan memorandum dua muka surat kepada Kementerian Pendidikan di sini hari ini.

Memorandum tersebut diserahkan kepada Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran Sektor Dasar, dan kurikulum KPM, Dr Habiba Abdul Rahim.

Wakil kepimpinan Dong Jiao Zhong hadir menyerahkan memorandum mengenai isu tulisan jawi kepada Kementerian Pendidikan Malaysia di Kompleks E8, Kementerian Pendidikan Malaysia, Putrajaya. foto NOOREEZA HASHIM, 02 JANUARI 2020.

Sementara itu, ditanya tindakan Dong Zong berkeras membantah pengajaran tiga muka surat tulisan Jawi di dalam buku Bahasa Melayu seperti yang digembar-gemburkan, Cheng Suan menjelaskan, sebenarnya mereka tidak membantah pelaksanaan pengajaran tersebut.

Ujarnya apa yang berlaku ketika ini adalah salah faham oleh pihak-pihak terbabit ekoran telah tersalah tafsir dengan permintaan Dong Zong.

“Kami memang tak pernah bantah pengajaran tulisan Jawi itu. Tapi cuma tak setuju dengan corak pembentangan di mana ia bukanlah mata pelajaran yang dipelajari secara sukarela.

“Ia bukan secara elektif saja tapi sudah masuk dalam kokurikulum. Bila dah masuk ia boleh juga jadi macam itu (wajib dipelajari),” ujarnya.

Semalam, Gabungan Mahasiswa Islam Semalaysia (Gamis) mengadakan himpunan mendesak kerajaan supaya mengharamkan Dong Zong ekoran dakwaan cuba menggugat perpaduan dalam kalangan masyarakat di negara ini ekoran cuba membantah pelaksanaan pengajaran tulisan Jawi di sekolah vernakular.

Perkara sama turut disuarakan oleh beberapa NGO dan pimpinan parti politik pembangkang apabila mahu kerajaan bertindak tegas terhadap Dong Zong berhubung perkara itu.

Dalam pada itu, Cheng Suan menggesa agar diberikan ruang kepada Dong Zong untuk mengadakan dialog dengan Menteri Pendidikan, Maszlee Malik bagi mencari penyelasaian terhadap isu yang kini menjadi kontroversi.

Malah, pihaknya turut mengalu-alukan sekiranya Lembaga Pengurus Dong Zong dimasukkan ke jawatankuasa yang membuat dasar pelaksanaan tulisan Jawi itu. – MalaysiaGazette

2 Komen

  1. Haramkan aje lah… Cuma kehendak dia aje yg nak di penuhi.. Kerajaan dah keluarkan perintah pun dipersoalkan.. Klu nk ikut hak semua makhluk dlm dunia ada hak,bagaimana klu semua binatang dlm dunia ni minta hak jgn di bunuh utk dimkn bg mana klu org gila dlm dunia minta hak sama rata dgn org yg normal, dan mcm2 lglah pasal hak ,apa akn jadi dgn dunia kita?kan manusia diberi akal utk berfikir dan pertimbangan yg penting hidup dgn aman, klu Dong Zong tlh berjaya dgn cita2nya ada tak bangsa lain blh terima dan akhirnya perbalahan, tdk aman dan mcm2 situasi yg tdk baik.Disinilah pentingnya akal utk dipertimbangkan.

Comments are closed.