Home Ekonomi Ekonomi Singapura berkembang 0.7% tahun lalu, paling perlahan dalam sedekad

Ekonomi Singapura berkembang 0.7% tahun lalu, paling perlahan dalam sedekad

Pelabuhan Singapura

SINGAPURA – Ekonomi Singapura berkembang pada kadar paling perlahan dalam satu dekad tahun lepas kerana sektor perkilangan masih bergelut walaupun pertumbuhan meningkat sedikit pada suku keempat.

Ekonomi berorientasikan eksport telah terjejas teruk disebabkan perang perdagangan antara Amerika Syarikat dan China serta  kitaran global yang lemah dalam sektor elektronik.

Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) meningkat 0.7% pada 2019, kadar tahunan paling perlahan sejak 2009 dan turun dari 3.1% pada 2018.

Singapura meramalkan pertumbuhan antara 0.5% hingga 2.5% pada tahun ini.

Sektor perkhidmatan dan pembinaan mengimbangi kelemahan dalam pembuatan, sekali gus membantu pertumbuhan ekonomi pada kadar yang lebih cepat pada suku keempat.

KDNK berkembang 0.8% pada Oktober-Disember dari tempoh yang sama tahun lalu, berbanding dengan 0.7% yang disemak pada suku sebelumnya, kata Kementerian Perdagangan dan Industri dalam satu kenyataan.

Penganalisis menjangkakan pertumbuhan KDNK sebanyak 0.8%.

Ekonomi meningkat 0.1% suku ke suku pada asas tahunan dan diselaraskan secara bermusim, berbanding dengan kenaikan 2.4% pada suku sebelumnya. Penganalisis menjangkakan pengembangan 0.4%.

“Kelembapan ekonomi global telah menjejaskan kami. Tahun ini kami mengelak daripada kemelesetan. Ekonomi kita masih berkembang, tetapi kurang bersungguh-sungguh daripada yang kita mahukan,” kata Perdana Menteri, Lee Hsien Loong dalam mesej Tahun Baharu 2020 pada 31 Disember.

Singapura yang bergantung kepada perdagangannya dijangka mengadakan pilihan raya dalam beberapa bulan, yang diramal diadakan pada 18 Februari. – MalaysiaGazette