Home Nasional Fatimah, wanita pertama dilantik sebagai Pengarah JPJ Perlis

Fatimah, wanita pertama dilantik sebagai Pengarah JPJ Perlis

Fatimah Mohamed Ali Piah sebagai Pengarah JPJ Negeri Perlis, wanita pertama dilantik memegang jawatan itu.

PUTRAJAYA – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) hari ini mengumumkan pelantikan Fatimah Mohamed Ali Piah sebagai Pengarah JPJ Negeri Perlis, wanita pertama dilantik memegang jawatan itu.

Dalam kenyataan hari ini, JPJ memaklumkan pelantikan Fatimah menggantikan Shahrul Azhar Mat Dali yang bertukar dan dinaikkan pangkat sebagai Ketua Seksyen Operasi, Ibu Pejabat JPJ berkuat kuasa hari ini.

Fatimah, yang berkhidmat selama 25 tahun dengan JPJ, pernah menyandang beberapa jawatan, antaranya sebagai Ketua JPJ Cawangan Gua Musang, Pegawai Perhubungan Awam JPJ Selangor, Ketua Unit Aduan dan Siasatan Ibu Pejabat dan Ketua Unit Pengukuhan Integriti Ibu Pejabat.

“Ini sedikit sebanyak menjadikan beliau matang dalam membuat keputusan dan berkredibiliti untuk menyandang jawatan pengarah negeri wanita yang pertama,” menurut JPJ.- BERNAMA