KUALA LUMPUR – Pelbagai ragam murid-murid tahun dapat dilihat pada hari pertama pembukaan persekolahan bagi tahun 2020 yang bermula hari ini.
Ada yang riang dan gembira bertemu dengan kawan-kawan baharu malah tidak kurang ada yang menggenggam erat tangan ibu dan bapanya meminta agar tidak ditinggalkan.
Tinjauan MalaysiaGazette di Sekolah Kebangsaan Setiawangwa mendapati, ada dalam kalangan ibu bapa yang menghantar anak-anak mereka, tidak sampai hati untuk meninggalkan anak mereka di sekolah setelah ada diantaranya menangis teresak-esak.
Situasi itu bagaimanapun dapat ditenangkan oleh Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik yang meninjau sekolah berkenaan bagi melihat sendiri suasana hari pertama selepas cuti penggal persekolahan berakhir bulan lalu.
Maszlee dilihat mengambil pendekatan mesra dengan murid-murid sekolah sambil membahasakan dirinya sebagai pakcik dan turut memberikan nasihat supaya mereka belajar rajin-rajin untuk menjadi orang berguna pada masa depan.
Maszlee turut berpesan agar murid-murid patuh kepada arahan guru serta tidak sesekali menyakiti hati orang yang akan mendidik mereka.
Tidak disangka, rupa-rupanya kedatangan ahli Parlimen Simpang Renggam itu merupakan sesi lawatan kerja yang terakhir sebagai menteri pendidikan selepas mengumumkan melepaskan jawatan di dalam kabinet berkuat kuasa esok.
Pesanan yang disampaikan oleh Maszlee dalam pertemuannya dengan murid-murid di SK Setiawangsa pagi tadi mungkin akan disematkan di dalam hati Muhamad Darwisy Akil Mohd Shah, 7, seorang murid yang tidak mahu dilepaskan oleh ibunya untuk sesi perkenalan dengan guru dan rakan-rakan sekelas.
Dia turut berswafoto dengan menteri pendidikan itu yang beberapa jam lagi hanya akan bergelar seorang wakil rakyat dan bukan lagi sebagai menteri Kabinet. – MalaysiaGazette