BERLIN – Hampir kesemua monyet di sebuah zoo di Jerman mati selepas tempat penginapan haiwan-haiwan itu terbakar.
Zoo Krefeld berkata, hanya dua ekor chimpanzee yang terselamat.
Sekumpulan Orang Utan Borneo, chimpanzee dan marmoset di zoo berkenaan hidup di kawasan kandang seluas 21,500 kaki persegi.
Polis percaya kebakaran itu berpunca daripada tanglung yang dilepaskan semasa sambutan Tahun Baru.
“Orang ramai memaklumkan mereka melihat tanglung-tanglung berterbangan pada ketinggian sederhana berhampiran zoo dan kemudian ternampak kebakaran,’ kata Gerd Hoppmann, Ketua Jabatan Jenayah di bandar ini.
Malah, penyiasatnya juga menemui tanglung-tanglung di kawasan kandang monyet yang terbakar.
Tanglung diharamkan di Jerman kerana ia didapati sebagai alat punca kebakaran.
Penempatan monyet di Zoo Krefeld dibina pada tahun 1975 dan diwujudkan sebagai habitat semula jadi iklim tropika untuk kelawar buah dan burung selain haiwan mamalia.
Dua ekor chimpanzee yang terselamat didapati mengalami kecederaan dan sekarang diberi rawatan.
Zoo berkenaan juga mengesahkan Taman Gorilla di kawasan berhampiran terselamat.
Kidogo – gorila yang hidup bersama keluarga dalam keadaan baik, kata Zoo Krefeld. – MalaysiaGazette