KIMANIS – Pengerusi Barisan Nasional (BN) hari ini menafikan kenyataan yang beliau berkata Muafakat Nasional tidak sesuai di Sabah.
“Gagasan Muafakat Nasional harus dipersesuaikan dengan situasi politik di Sabah kerana latar belakangnya berbeza… itu kenyataan saya, noktah!” tegas Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang juga Presiden UMNO.
Sebelum itu, Zahid telah menghadiri program ramah mesra dan pelancaran jentera di PDM Gadong.
Beliau berkata demikian membidas laporan media yang tidak tepat dan cuba memanipulasikan kenyataannya.
“Saya minta sesiapa sahaja yang membuat liputan terhadap ucapan saya, jangan ada agenda untuk mengubah apa yang saya maksudkan.
“Beribu yang datang (program Ceramah Perdana malam tadi) dan mereka jelas termasuk pemimpin Pas, begitu juga pemimpin UMNO di Sabah.
“Oleh yang demikian, saya berharap mereka memperbetulkan laporan yang kononnya saya mengatakan Muafakat Nasional tidak sesuai di Sabah. Jadi tolong betulkan kalau mereka ikhlas dan jujur.
“Kebenaran tetap kebenaran. Jangan cuba untuk pusingkan fakta yang saya sampaikan. Saya ulangi, Gagasan Muafakat Nasional harus dipersesuaikan dengan situasi politik di Sabah… ini cukup jelas,” ujar beliau seperti laporan UMNO Online hari ini.
Untuk rekod, Malaysikini melaporkan kononnya Zahid berkata, Muafakat Nasional, sebuah kerjasama politik yang diketuai UMNO-Pas kurang sesuai dengan keadaan politik di Sabah.- MalaysiaGazette