KUALA LUMPUR – Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) memperluaskan Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) kepada 19 sektor bermula 1 Januari 2020.
Ketua Eksekutifnya Datuk Seri Dr. Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata, selepas ini setiap warganegara Malaysia yang bekerja sendiri termasuk penjaja dan dalam talian diwajibkan mencarum dan berdaftar dengan skim SKSPS.
“Ia termasuklah individu yang berniaga dalam talian, perniagaan profesional, penjaja, petani, penternak, kumpulan sokongan dan juga mereka yang diperkenalkan dengan pemanduan e-hailing seperti grab dan degoride.
“Mereka yang bekerja sendiri sila tampil mencarum dan mendaftarkan diri yang mana proses pendaftaran tidak sukar, bayaran dalam talian boleh dibuat menerusi http://matrix.perkeso.gov.my dan turut disediakan klip video untuk membimbing setiap individu kaedah untuk mendaftar
“Serta membuat caruman di https://youtu.be/XvJ49kh14tA atau hadir ke mana mana cawangan kami seluruh negara,” katanya dalam sidang media khas program tersebut di Menara Perkeso di sini.
Tambahnya, setiap individu yang ingin menyumbang Perkeso mempunyai opsyen membuat caruman secara bulanan dan tahunan menerusi empat pelan caruman demi perlindungan mereka dan tanggungan keluarga.
“Caranya mudah iaitu setiap individu yang berniaga sendiri hanya perlu membawa bersama kad pengenalan dan bukti mereka berniaga sendiri atau bekerja sendiri dan sekiranya mereka profesional juga memerlukan bukti berdokumen yang boleh dianggap pencarum Perkeso bawah skim bekerja sendiri melibatkan mana-mana daripada 19 sektor yang dimaksudkan.
“Sebelum ini ada insiden melibatkan pemandu grab yang meninggal dunia dalam kemalangan, jenayah bunuh dan gara-gara mereka didapati tidak berdaftar sebagai pencarum mengakibatkan keluarga mereka tidak mendapat sebarang pulangan untuk masa depan mereka.
“Nasihat saya jangan ambil risiko demi masa depan dan ambil serius program ini datanglah beramai ramai mendaftarkan diri sebagai pencarum demi masa depan keluarga anda,” ujarnya lagi.
Setakat hari ini seramai 48,000 daripada keseluruhan 2.83 juta individu bekerja sendiri di negara ini telah mencarum bersama Perkeso.
“Kami mensasarkan 100 peratus berdaftar dengan Perkeso sepertimana disasarkan oleh kerajaan dan juga Menteri Kewangan Lim Guan Eng.
“Kami sedang berhubung dengan semua sektor media untuk menghebahkan program ini dan memberi kesedaran kepada mereka di luar sana selain akan mengadakan roadshow melibatkan beberapa zon Januar ini.
“Kami juga sedaang berhubung dengan semua pemegang taruh dalam isu ini khususnya Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) untuk mengadakan perjanjian bagi memastikan setiap penjaja yang berdaftar dibawah mereka didedahkan skim ini bagi mewajibkan mereka berdaftar,” katanya lagi.
Kesemua 19 sektor tidak formal adalah pengangkutan dan penghantaran barangan atau makanan, pertanian, penternakan dan pengeluaran ternakan, pengambilan hasil hutan, perikanan, penyediaan dan penjualan makanan,
Aktiviti pengilangan produk, kerja pembinaan, menjaja atau berniaga, premis penginapan, perniagaan dalam talian.
Turut terlibat adalah teknologi makumat, pengumpulan dan pemprosesan data, perkhidmatan Ejen, profesional, saintifik dan teknikal, perkhidmatan sokongan persendirian,Aktiviti persembahan, perfileman, karya seni grafik, perkhidmatan isi rumah, perkhidmatan penjagaan, perawatan dan pemulihan kesihatan mental, fizikal dan sosial.
Jelas beliau, bagi pekerja sendiri yang melakukan lebih daripada satu jenis pekerjaan, bilangan carumannya bergantung kepada jenis sektor sesuatu pekerjaan itu, yang mana sekiranya pekerjaan sendiri dilakukan dalam sektor yang sama, hanya satu caruman perlu dibayar, dan caruman tambahan pula perlu dibayar sekiranya menjalankan pekerjaan sendiri bawah sektor lain.
Menurutnya, kebanyakan individu bekerja sendiri di negara ini tidak tahu berhubung dengan atau akses dengan media arus perdana dan media sosial yang dilihat sebagai salah satu kekangan yang perlu ditangani segera.
Justeru kata beliau, Perkeso juga mahu memujuk mereka dengan kaedah dari pintu ke pintu dengan berkongsi beberapa kes dan insiden untuk membawa kesedaran dalam diri mereka mengenai lapan jenis faedah yang disediakan antaranya perubatan, pendidikan, pengurusan mayat, orang tanggungan, hilang upaya sementara dan kekal.
Dalam perkembangan berkaitan Perkeso juga serius dalam melaksanakan program itu dan mahu memastikan tidak ada mana mana individu penganggur tampil berdaftar tanpa pekerjaan sendiri dan disalahgunakan.
Setakat ini jumlah tuntutan pampasan Perkeso yang direkodkan ialah RM705,000 melibatkan 253 penerima faedah menerusi 218 kes tuntutan yang diterima. – MalaysiaGazette