Home Nasional Buka semula kedutaan di Pyongyang sebagai sokong rundingan damai dua Korea

Buka semula kedutaan di Pyongyang sebagai sokong rundingan damai dua Korea

Menteri Luar Negeri, Datuk Saifuddin Abdullah (kanan) dan Timbalan Menteri Luar Negeri, Datuk Marzuki Yahya (kiri) bercakap pada sidang media mengenai pencapaian Kementerian Luar Negeri bagi Tahun 2019 di Wisma Putra Kementerian Luar Negeri, Putrajaya. foto NOOREEZA HASHIM, 03 JANUARI 2020.

PUTRAJAYA – Hasrat Malaysia untuk membuka semula kedutaannya di Pyongyang menunjukkan menyokong proses rundingan damai antara Korea Utara dan Korea Selatan.

Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, ia merupakan langkah persahabatan mesra yang ditunjukkan Malaysia terhadap negara lain dalam memperkukuh hubungan dua hala.

“Kita negara mesra dan mahu menjalin hubungan baik dengan semua negara di dunia ini.

“Kenapa kita mengaktifkan semula kedutaan di Pyongyang sekarang adalah untuk menyatakan sokongan rundingan damai yang sedang berlangsung antara DPRK (Korea Utara) dan Korea Selatan.

“Kami sudah menyatakan pendirian dan pandangan kami bahawa kadang-kadang kamu perlu motivasi untuk duduk di meja rundingan dan perlu menunjukkan sokongan padu.

“Maka kami sedar bahawa wujud sekatan unilateral oleh Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB),” katanya pada sidang media kad laporan pencapaian 2019 dan sasaran pencapaian 2020 di Wisma Putra hari ini.

Katanya, sementara rundingan damai antara kedua-dua negara itu berlangsung, Malaysia berpendapat Majlis Keselamatan PBB juga perlu tampil memberi motivasi dengan melonggarkan beberapa sekatan yang dikenakan ke atas Korea Utara.

Menurutnya, langkah itu penting bagi membolehkan negara tersebt memperbaiki hubungan diplomatik negara lain.

“Jadi sebagai sokongan mesra, kami menunjukkan sokongan dengan cara kecil menerusi langkah mengaktifkan semula kedutaan Malaysia di Pyongyang,” kata. – MalaysiaGazette