SONGKHLA – Seorang warga Myanmar maut apabila motosikal ditungganginya bertembung dengan sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) yang dipandu warga Malaysia di Jalan Hatyai-Songkhla malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira 8 malam (waktu tempatan), Hla Aye, 52, yang merupakan seorang buruh meninggal dunia di tempat kejadian.
Ketua Polis Siasatan Jenayah Daerah Bang Klam, Wilayah Songkla Left. Kol. Pol. Suthep Shunpradap berkata, siasatan awal mendapati motosikal yang ditunggang mangsa bertembung dengan SUV yang dipandu warga Malaysia, 59 tahun.
“Pertembungan yang kuat menyebabkan mangsa dan motosikal diheret kira-kira 70 meter.
“SUV itu turut terbakar pada bahagian depan dan berjaya dipadamkan penduduk tempatan,” katanya ketika dihubungj Bernama hari ini.
Suthep berkata, kereta jenis SUV yang dipandu lelaki itu bersama empat lagi penumpang, termasuk seorang wanita, dalam perjalanan dari Krabi ke Hatyai, Songkhla selepas bercuti di pusat peranginan itu.
“Semua penumpang selamat. Pemandu kini ditahan di Balai Polis Bang Klam untuk siasatan lanjut dan dihadapkan ke mahkamah,” katanya. – Bernama