KUALA LUMPUR – Jumlah import dan eksport Malaysia dijangka menguncup masing-masing 4.7 peratus dan 4.4 peratus pada November yang menyebabkan berlakunya lebihan dagangan sebanyak RM8.3 bilion bagi tempoh tersebut.
Menurut RAM Rating Services Bhd, penurunan itu lebih perlahan berbanding penurunan masing-masing 8.7 peratus dan 6.7 peratus pada Oktober berikutan kesuraman berterusan akibat kadar perdagangan dan permintaan global yang kurang memberangsangkan.
“Perkembangan membabitkan persetujuan fasa pertama antara Amerika Syarikat-China juga telah meredakan kebimbangan berlanjutan mengenai penyusutan perdagangan global.
“Walaupun Washington mahu pun Beijing masih belum memuktamadkannya secara rasmi, namun kedua-dua belah pihak telah bertindak menangguhkan cukai yang dijadualkan pada 15 Disember selain bertindak mengurangkan cukai sedia ada membabitkan barangan tertentu,” kata RAM dalam satu kenyataan, Khamis.
RAM turut menyifatkan kelonggaran cukai tersebut turut memaparkan hala tuju pengurangan lencongan potensi perdagangan yang dinikmati Malaysia.
Malah, langkah Amerika Syarikat mengurangkan cukai barangan tertentu pada 1 Sept, 2019, juga mungkin menggalakkan peningkatan semula pembelian produk China yang sebelum ini telah dialihkan ke pasaran lain.
“Malaysia merupakan antara penerima manfaat itu bersandarkan daya saingnya dalam pengeluaran kumpulan barangan tertentu,” katanya. – MalaysiaGazette