KUALA LUMPUR – Penyakit kanser kini meningkat di Malaysia dan menyumbang kepada 16,000 kematian di Malaysia pada tahun 2018.
Bagi tujuan ini, Institut Kanser Negara telah menerbitkan laporan 5-tahun kedua, Malaysia National Cancer Registry Report 2012 – 2016 (MNCRR) yang merupakan kesinambungan kepada laporan pertama MNCRR 2007 – 2011 yang diterbitkan pada tahun 2016.
Tujuan utama penerbitan laporan ini adalah untuk melihat tren insiden dan beban kanser di Malaysia bagi tempoh 10 tahun iaitu dari tahun 2007 hingga 2016.
Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, oleh sebab jumlah kematian akibat kanser adalah tinggi, maklumat terkini beban kanser dalam populasi amat diperlukan dalam menentukan tren penyakit tersebut di Malaysia.
Menurutnya. laporan terkini menunjukkan terdapat peningkatan bilangan kes baharu yang dikesan dalam tempoh 2012 – 2016 iaitu 115,238 kes berbanding dengan 103,507 kes bagi tempoh 2007 – 2011 dengan kadar insiden sebanyak 86 kes bagi setiap 100,000 populasi lelaki dan 102 kes bagi setiap 100,000 populasi perempuan.
Bagi tempoh 2012 – 2016, 10 jenis kanser tertinggi yang dikesan dalam kalangan rakyat Malaysia mengikut keutamaan ialah kanser payudara, kolorektal, paru-paru, limfoma, nasopharynx, leukemia, kelenjar prostat, hati, pangkal rahim (serviks) dan ovari.
Menurutnya, analisis seterusnya mengikut jantina mendapati kanser tertinggi dalam kalangan lelaki ialah kanser kolorektal diikuti oleh kanser paru-paru dan kelenjar prostat.
Manakala yang tertinggi dalam kalangan perempuan ialah kanser payudara diikuti oleh kanser kolorektal dan pangkal rahim.
Kanser yang paling kerap dikesan dalam kalangan kanak-kanak berusia 0 – 14 tahun pula ialah leukemia dan kanser sistem saraf tunjang, manakala dalam kalangan remaja berusia 15 – 24 tahun adalah limfoma.
Menurutnya, kadar kejadian kanser pangkal rahim telah menurun dengan ketara iaitu dari lapan kes kepada enam kes bagi setiap 100,000 populasi perempuan di Malaysia.
“Penurunan ini berkemungkinan disebabkan oleh kempen pengesanan awal melalui ujian pap smear yang disediakan oleh kerajaan di semua fasiliti kesihatan.
“Walau bagaimanapun, terdapat peningkatan insiden yang ketara pula dilihat untuk kanser payudara dan kolorektal,” katanya dalam kenyataan,
Analisis mengikut etnik pula menunjukkan kaum Cina paling kerap dikesan menghidap kanser diikuti oleh kaum Melayu dan India.
Untuk setiap 100,000 populasi berbangsa Cina didapati 106 lelaki dan 117 perempuan menghidap kanser manakala dalam kalangan kaum Melayu, lelaki dan perempuan masing-masing menunjukkan kadar insiden sebanyak 74 kes dan 91 kes bagi setiap 100,000 populasi.
Bagi kaum India, kadar insiden yang dicatatkan adalah sebanyak 67 kes lelaki dan 107 kes perempuan bagi setiap 100,000 populasi.
Jika dibandingkan dengan laporan pertama, terdapat penurunan kadar insiden dalam kalangan kaum Cina dan India sementara peningkatan kadar insiden dilihat dalam kalangan kaum Melayu.
Selain itu, kes yang dikesan lewat pada tahap tiga dan empat didapati meningkat dari 58.7 peratus pada tahun 2007 – 2011 kepada 63.7 peratus pada tahun 2012 – 2016.
Penemuan ini membimbangkan kerana kajian ‘Malaysian Study on Cancer Survival’ yang telah diterbitkan pada Oktober 2018 menunjukkan semakin lewat kanser dikesan, semakin rendah kadar survival pesakit.
Oleh itu, kerjasama pelbagai pihak amat diperlukan dalam mengenal pasti ruang penambahbaikan bagi meningkatkan kesedaran masyarakat dan akses kepada pengesanan dan rawatan awal, tambahnya. – MalaysiaGazette