KUALA LUMPUR – 2020 dijangka menjadi tahun yang lebih baik bagi ekuiti Malaysia dengan pertumbuhan semula pendapatan selepas terhenti selama dua tahun, menurut Kenanga Research.
Firma penyelidikan itu berkata, ia akan didorong oleh faktor antaranya risiko luaran yang semakin reda, pemulihan harga komoditi, kemungkinan penyambungan semula projek infrastruktur mega di samping kesan positif lencongan perdagangan bagi pelaburan serta eksport.
Paras sasaran ‘bottom-up’ (iaitu berasaskan analisis perniagaan dan analisis penilaian jaminan terperinci) pada akhir 2020 bagi FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) adalah 1,712 yang bertepatan sasaran ‘top-down’ (berdasarkan faktor menyeluruh) dengan meletakkan 15.9 kali harga perolehan ke atas pendapatan sesaham (EPS) pada 2021.
Ketika pasaran dibuka Khamis, FBM KLCI menambah 4.64 mata kepada 1,593.40 daripada 1,588.76 semasa ditutup pada Selasa. Indeks itu dibuka pada 1,590.98.
Bursa tempatan ditutup Rabu sempena cuti umum Tahun Baharu.
“Hasil korporat suku ketiga bagi tahun kalendar 2019 baru-baru ini menunjukkan penurunan pendapatan telah ditangani dengan pemulihan bagi suku seterusnya mula ditunjukkan.
“Setelah susut lima peratus sejak awal tahun ini, penilaian bagi FBM KLCI kini dilihat menarik memandangkan ia berada pada harga perolehan 12 bulan hadapan sebanyak 15.7 kali di bawah purata lima tahun dan tujuh tahun,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.
Ia berkata dengan dividen hadapan dilihat kekal tidak terjejas, maka hasil dividen 3.8 peratus kini mengatasi hasil Sekuriti Kerajaan Malaysia bertempoh 10 tahun pada 3.4 peratus — situasi terakhir diperhatikan adalah pada enam tahun lepas
Sementara itu, AllianceDBS Research berkata, sasarannya bagi FBM KLCI di penghujung 2020 adalah pada 1,620 berasaskan 16 kali pendapatan tahun kalendar 2020.
Prestasi itu akan disokong oleh antaranya keredaan ketidaktentuan luaran, pelan penggantian kepimpinan negara serta ekonomi Malaysia yang berdaya tahan.
Firma penyelidikan itu turut senada dengan Kenanga Research memandangkan sentimen pasaran semakin bertambah baik secara ketara apabila kemajuan rundingan perdagangan Amerika Syarikat-China serta dasar monetari akomodatif yang mampan dilaksanakan oleh bank-bank pusat di peringkat global telah meningkatkan prospek bagi unjuran ekonomi lebih baik pada 2020.
AllianceDBS Research berkata, isu penggantian kepimpinan pentadbiran negara ini dijangka terus menjadi kebimbangan para pelabur, terutama perbalahan dalaman kerajaan.
“Kami yakin tempoh yang lebih jelas untuk penggantian kepimpinan pentadbiran kerajaan adalah perlu supaya FBM KLCI dapat mencatatkan kenaikan kukuh berbanding bergerak pada paras terendah dalam tempoh empat tahun,” menurut AllianceDBS Research.
Ia berkata, Belanjawan 2020 yang dibentangkan kerajaan untuk menyokong pertumbuhan dijangka mengekalkan pertumbuhan ekonomi Malaysia yang diunjurkan pada 4.5 peratus.
Bank Negara Malaysia juga boleh mempertimbangkan satu lagi pusingan pengurangan kadar faedah pada separuh pertama 2020 sekiranya wujud risiko negatif ke atas pertumbuhan ekonomi negara, menurutnya.
Firma penyelidikan itu berkata, ini memandangkan sentimen dalam kalangan pengguna dan korporat yang terus lemah, sekali gus menjejaskan aktiviti pelaburan swasta yang membantu merangsangkan lagi ekonomi.
AllianceDBS Research berkata, wujud banyak peluang pada tahun depan, termasuk saham dengan hasil dividen tinggi dalam persekitaran kadar faedah rendah yang mampan serta manfaat Tahun Melawat Malaysia 2020 yang akan diraih daripada ketibaan jumlah pelancong lebih tinggi selain persekitaran didorong situasi termasuk pihak yang memperoleh manfaat daripada dasar kerajaan dan pemenang perang perdagangan.
Kenanga Research turut berkata, pelabur akan gembira dengan pemulihan harga komoditi.
“Tiga faktor utama dijangka memacu pemulihan sektor, pertama kelewatan kesan cuaca kering (terutama di Indonesia semasa suku kedua dan ketiga 2019 telah mengurangkan pengeluaran pada 2020) kedua, peningkatan penggunaan minyak sawit di China didorong wabak selesema babi dan ketiga, pertambahan penggunaan adalah dijangkakan memandangkan Indonesia dan Malaysia telah meningkatkan peratusan campuran minyak sawit mentah (MSM) mengikut dasar biobahan api masing-masing,” menurutnya.
Kenanga Research menaikkan unjuran harga MSM pada 2020 daripada RM2,400 kepada RM2,700 susulan perkembangan positif ini.
Ia juga menjangkakan penyambungan semula projek infrastruktur mega yang akan menggalakan ekonomi.
“Walaupun usaha menangani isu kos sara hidup terkandung dalam Belanjawan 2020 dan inisiatif Wawasan Kemakmuran Bersama, namun korporat Malaysia masih terperangkap dalam persekitaran perniagaan yang lembap.
“Memulihkan projek pembinaan adalah satu cara untuk memperkukuh sektor korporat tanpa mengambil kira marginnya yang berkurangan. Terdapat banyak nilai yang dicipta sekiranya kos projek dikurangkan. Ia bagaimanapun tetap menguntungkan kontraktor,” katanya.
Ia berkata, nilai lebih besar bagi setiap wang yang dilaburkan memberi manfaat kepada jumlah pihak berkepentingan yang lebih banyak di sepanjang rantaian nilai, sekali gus menaikkan kesan pengganda.
Dalam menangani daya maju ekonomi daripada projek ini, firma penyelidikan itu berkata, usaha mencari jalan untuk menjadi cekap dari segi kos di samping mendapatkan sektor swasta untuk terlibat sama bukan hanya dalam pembiayaan sahaja malah terus menyumbang idea untuk menarik nilai komersial yang tinggi.
Bagi menggalakkan sektor korporat, kemajuan projek infrastruktur mega yang telah disambung semula namun pelaksanaannya perlahan akan dipercepatkan, sementara yang masih ditangguhkan tetapi mempunyai n impak ekonomi yang tinggi mungkin disambung semula pada 2020, terutama Transit Aliran Massa 3 (MRT3).
“Menyiapkan MRT3 sepanjang 40 kilometer adalah wajar kerana laluan ini akan melengkapkan sambungan rangkaian kereta api di Lembah Klang.
“Hakikat bahawa projek ini akan meliputi sebahagian besar pusat bandar raya, merangkumi lokasi kepadatan penduduk tinggi, menjadikannya lebih penting untuk disiapkan memandangkan lonjakan besar-besaran ke atas kesan nilai tambah yang dapat dibawa ke dalam keseluruhan sistem kereta api.
“Projek ini dan Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang, kami yakin, akan dipertimbangkan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 yang akan bermula pada 2021,” menurut Kenanga Research.
Dalam pada itu, majlis menandatangani perjanjian Bandar Malaysia pada 17 Dis 2019 secara rasmi menandakan projek itu kembali semula ke landasannya selain menjadi satu lagi peristiwa penting untuk mengatasi kelembapan.
“Walaupun pihak skeptikal menyuarakan kebimbangan bahawa pembangunan dengan nilai pembangunan kasar RM140 bilion itu akan memburukkan lagi situasi hartanah tidak terjual namun kami yakin ia memiliki peluang adil memandangkan lokasinya sebagai hab kereta api berkelajuan tinggi Malaysia-Singapura serta faktor tarikan utama untuk syarikat multinasional utama dan syarikat teknologi global menempatkan pejabat wilayah dan operasi mereka,” menurutnya.
Kenanga Research juga menjangkakan untuk melihat projek lain, yang mencatatkan kemajuan perlahan, disambung semula dan akan mencatatkan kemajuan lebih baik pada 2020.
“Pemberian tender Laluan Rel Pantai Timur yang dinantikan sekian lama untuk kerja-kerja awam, yang pada awalnya dijangka diberikan pada suku keempat, belum direalisasikan walaupun proses prakelayakan telah selesai pada Ogos.
“Projek Transit Aliran Ringan 3 pula berjalan pada kadar yang perlahan seperti yang ditunjukkan menerusi pengebilan kemajuan yang rendah, yang dilaporkan dalam prestasi kewangan suku ketiga Suncon, MRCB dan George Kent,” katanya. – MalaysiaGazette