PUTRAJAYA – Kementerian Luar menetapkan 12 sasaran untuk dicapai pada tahun ini dengan memberi tumpuan kepada pelan rasionalisasi perwakilan dan agensi di luar negara.
Menterinya, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, Wisma Putra telah memuktamadkan perbincangan mengenai rasionalisasi fasa pertama yang membabitkan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), kementeriannya dan agensi lain.
“Rasionalisasi ini akan menyusun semula institusi perkhidmatan awam serta meminimumkan pertindihan fungsi, peranan dan tanggungjawab antara agensi.
“Ini dapat mengoptimumkan sumber manusia serta mengurangkan perbelanjaan kerajaan secara keseluruhan,” katanya dalam sidang media Kad Laporan pencapaian 2019 dan sasaran 2020 di Wisma Putra petang ini.
Menurut beliau, pelan rasionalisasi itu tidak melibatkan pembuangan penjawat awam dan isu itu tidak timbul.
Jelas beliau, JPA adalah agensi bertangunggjawab dalam perkara ini dan pihaknya meneliti beberapa agensi lain untuk mewakili kepentingan Malaysia
“Contohnya kamu ada perwakilan di mana sahaja serata dunia kemudian kamu ada pendidikan Malaysia, Matrade, MAEDA dan lain lain agensi akan terlibat dalam rasionalisasi ini.
“Ini adalah idea dari agensi pusat sebab ketua misi adalah dari Wisma Putra jadi kerana itu kami ambil tanggungjawab untuk laksanakan proses rationalisasi ini.
“Saya nak maklumkan ini tak bermakna sebelum ini tiada hubungan erat antara agensi luar negara tetapi kami merasakan bahawa kita wujud keperluan untuk melaksanakannya dengan lebih teratur dan sempurna,” katanya.
Ditanya sama ada pelan tersebut akan melibatkan penempatan kakitangan di jabatan dan agensi lain, Saifuddin berkata, beliau hanya boleh mengesahkan perberhentian kerja dilakukan.
Selain itu, katanya, Wisma Putra mensasarkan kerjasama dengan Suruhanjaya Pilihan Raya untuk membincangkan pembaharuan sistem pengundian di luar negara dan maklumat terperinci cara rakyat Malaysia mendaftar dan mengundi di luar negara akan diuar-uarkan selepas dimuktamadkan.
Justeru katanya, fasa kedua sistem e-protokol akan dilaksanakan sepenuhnya dan akan dinaiktaraf seiring dengan pendigitalan perkhidmatan awam. – MalaysiaGazette