Home Nasional Malu sahaja bila Ramasamy ditempelak oleh rakan parti sendiri

Malu sahaja bila Ramasamy ditempelak oleh rakan parti sendiri

KUALA LUMPUR – Walaupun terdapat pihak, termasuk media, tidak mempedulikan ‘drama’ pertikaman lidah antara pimpinan DAP iaitu antara Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang II, P Ramasamy dan Timbalan Menteri Pembangunan, Wanita dan Masyarakat, Hannah Yeoh.

Namun ada juga pihak merasakan Ramasamy banyak menghabiskan masa mengeluarkan kenyataan demi kenyataan dalam laman sosial Facebook sedangkan tanggungjawab sebagai Timbalan Ketua Menteri II memerlukan lebih perhatian.

Menurut Exco Barisan Nasional Youth Volunteers (BNYV) Kebangsaan, Mathis Sarawanan, beliau berasa pelik melihat tindakan Ramasamy itu.

“Bukanlah saya hendak kurang ajar dengan Timbalan Ketua Menteri negeri saya sendiri. Tapi saya rasa penat sangat melihat gelagatnya yang acap kali melakukan kritikan terhadap kerajaan persekutuan.

“Kononnya DAP begitu adil dan memperjuangkan prinsip kebebasan sehingga sesiapa sahaja boleh bercakap. Tetapi ramai juga yang pernah kena saman sebelum ini kerana bersuara.

“Mengapa beliau perlu campurtangan dalam semua perkara sedangkan beliau pegang portfolio di Pulau Pinang ini sendiri? Bercakaplah tentang apa yang sedang berlaku di sini, tolong tumpu perhatian di sini YB.

“Apa gunanya kamu bercakap tentang bekas Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik yang sudah meletakan jawatan malah langsung tidak ambil peduli tentang pandangan kamu? Jika bukan MIC, kamu bercakap tentang pemimpin lain. Cukuplah,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Mathis yang juga merupakan Ketua Pemuda MIC Bayan Baru sebelum itu sempat menempelek Ramasamy kerana ditegur oleh Hannah apabila tidak berhenti bercakap tentang Maszlee yang sudah meletak jawatan.

Kesian Dr. Ramasamy. Mati-mati dia berjuang untuk DAP. Sentiasa jadi ‘front liner’ parti tetapi akhirnya dimalukan oleh Timbalan Menteri dari DAP sendiri.

“Democratic Actions Party konon tapi pemimpin parti pun didiamkan demi survival politik orang atasan. Mungkin inilah konsep demokrasi DAP. Diangkat bila perlu, dimalukan bila sudah tidak lagi diperlukan.

“Patutlah dalam pemilihan peringkat negeri pun Dr. Ramasamy kalah walaupun sudah jadi TKM 2 Pulau Pinang kira-kira tiga penggal,” tulisnya dalam laman sosial Facebook beliau.

Kata Mathis lagi, ketika ini masyarakat India di Pulau Pinang juga tidak berapa senang dengan isu kuil Sri Mangalanayagi Amman, Bukit Tengah yang didakwa telah diambilalih secara tidak betul oleh Lembaga Wakaf Hindu Pulau Pinang (PHEB).

“Pergilah selesai dulu perkara itu. Cakap dan tulis banyak-banyak pasal perkara itu supaya masyarakat umum akan lebih faham dengan perkara itu,” tegasnya.

Semalam Hannah mendesak Ramasamy untuk lebih fokus kepada penambahbaikan dasar di negeri itu daripada mengkritik Maszlee sudah meletak jawatan.

“Kalau setiap orang menumpukan tenaga jalankan tugas sebagai ahli Parlimen atau ADUN, maka negeri dan negara kita akan menjadi lebih baik,” katanya. –MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.