KUALA LUMPUR – Proses penamaan calon di Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kimanis berakhir jam 10 pagi tadi.
Hanya dua calon menyerahkan borang masing-masing antaranya calon Barisan Nasional (BN), Datuk Mohamad Alamin yang pertama memasuki Dewan Datuk Seri Panglima Haji Mohamad Dun Banir yang menjadi lokasi pusat penamaan calon bagi PRK ke-10 sejak Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
Mohamad dilihat memasuki dewan jam 9.03 pagi.
Kedua adalah calon Warisan, Datuk Karim Bujang jam 9.10 pagi tadi.
Pengumuman senarai calon yang sah bertanding akan diumumkan oleh pegawai pengurus pilihan raya, Jupry Etok.
Untuk rekod, sebanyak 14 borang pencalonan sudah dijual oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kepada wakil-wakil parti dan calon bebas.
Mahkamah Pilihan Raya Kota Kinabalu pada 16 Ogos tahun lalu memutuskan bahawa kemenangan penyandangnya, Datuk Seri Anifah sebagai tidak sah dan terbatal selepas mendapati ada kertas undi tambahan yang boleh menjejaskan keputusan pilihan raya.
SPR menetapkan tarikh mengundi awal adalah pada 14 Januari dan hari mengundi biasa pada 18 Januari depan. -MalaysiaGazette