KUALA LUMPUR – Proses penamaan Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kimanis dilaporkan tegang daripada penyokong kedua-dua parti, Warisan dan Barisan Nasional (BN).
Situasi tegang itu dilaporkan berlaku apabila kedua-dua pihak mendekati pintu pagar dewan penamaan calon.
Memetik laporan Free Malaysia Today (FMT), kedua-dua pihak dikatakan melakukan provokasi dengan penyokong BN memanggil penyokong Warisan “penipu” dan menjerit “PSS”.
Tindakan itu didakwa merujuk kepada tuduhan BN terhadap kegagalan Warisan-PH-Upko menunaikan manifesto pilihan raya mereka dan kontroversi melibatkan Pas Sementara Sabah.
Bagaimanapun, penyokong Warisan hanya menyanyikan lagu Sabah.
Situasi itu dirakam ketika kedua-dua pihak mula berarak mengiringi calon masing-masing ke dewan penamaan calon di Dewan Datuk Seri Panglima Haji Dun Banir.
Dalam situasi itu, Presiden Warisan, Datuk Seri Shafie Apdal turut mengingatkan penyokongnya agar tidak mencetuskan provokasi kepada pihak lawan.
Ketua Menteri Sabah itu juga dilihat menegangkan pita “jangan melintas garisan” sambil mengarahkan polis mengawal keadaan.
“Tolong jangan provokasi mereka. Jangan memulakan pergaduhan,” kata Shafie.
PRK Kimanis hari ini menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara BN dan Warisan.
BN mempertaruhkan Datuk Mohamad Alamin sebagai calon bagi menentang calon Warisan, Datuk Karim Bujang.
PRK kesepuluh selepas Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU14) diadakan berikutan Mahkamah Persekutuan pada 1 Disember tahun lalu mengekalkan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Kota Kinabalu dengan membatalkan kemenangan Datuk Seri Anifah Aman. -MalaysiaGazette