Home Utama Gelombang Semenanjung terhenti di Borneo, Warisan miliki kelebihan di Kimanis

Gelombang Semenanjung terhenti di Borneo, Warisan miliki kelebihan di Kimanis

Sehingga penamaan calon semalam, belum ada sebarang petunjuk gelombang yang melanda siri-siri PRK di Semenanjung yang memenangkan BN telah sampai di Kimanis. Gelombang itu tidak melanda, sentimen Melayu-Islam tidak wujud, semangat PU dan MN juga tidak relevan.

PRK Kimanis

BERMULA di Cameron Highlands, dengan bergaya Barisan Nasional (BN) membelasah lawan di Semenyih, Rantau dan Tanjung Piai.

Prestasi itu banyak dipengaruhi oleh sentimen Melayu-Islam yang dipelopori oleh Umno dan Pas melalui agenda Penyatuan Ummah (PU) dan kemudiannya Muafakat Nasional (MN).

Adakah gelombang ini akan berterusan di Kimanis pada 18 Januari ini? Saya tidak jangkakan begitu.

BN lumpuh sepenuhnya di Sabah sebulan selepas PRU 14 apabila semua komponennya keluar gagasan itu, tinggal Umno bersendirian.

Umno Sabah pula sakit teruk menjelang PRU 14 apabila sebahagian anggota mereka keluar menyertai Parti Warisan Sabah (Warisan) bersama-sama Shafie Afdal.

Umno Sabah kemudiannya jatuh nazak selepas PRU 14 apabila hampir semua wakil rakyat mereka keluar parti selepas kalah dalam pilihanraya tersebut.

Adakah Umno dan BN Sabah telah pulih untuk menghadapi PRK Kimanis ini? Saya tidak temui petunjuk itu.

Lanskap politik Sabah juga sangat berbeza dengan Semenanjung, pengalaman saya meneliti pilihan raya di Sabah menunjukan parti yang menguasai kerajaan mempunyai kelebihan yang sangat besar, pola sokongan pengundi lebih cenderung kepada pemilik kuasa.

Walaupun BN adalah penyandang di Kimanis, perlu diingat bahawa kemenangan dengan majoriti tipis itu diperolehi sewaktu BN adalah kerajaan Persekutuan dan negeri pada waktu itu.

Lagipun Anifah Aman berstatus menteri pada masa itu, yang memiliki segala-gala untuk meraih sokongan pengundi. Selepas kalah, beliau antara yang paling awal keluar meninggalkan Umno dan BN.

Sehingga penamaan calon semalam, belum ada sebarang petunjuk gelombang yang melanda siri-siri PRK di Semenanjung yang memenangkan BN telah sampai di Kimanis. Gelombang itu tidak melanda, sentimen Melayu-Islam tidak wujud, semangat PU dan MN juga tidak relevan.

Ada beberapa isu bersifat lokal yang timbul, namun saya jangkakan isu-isu tersebut belum cukup kuat untuk melonjakkan sokongan kepada BN untuk memenangi pertembungan ini.

Berpandukan pemboleh-pemboleh ubah tersebut, saya jangkakan Warisan mempunyai kelebihan untuk memenangi PRK Kimanis ini.

Namun ini adalah hipotesis, untuk dapatkan data sebenar semestinya perlu turun ke lapangan mengumpul data daripada pengundi sebenar.

Saya jangkakan seminggu sebelum hari pembuangan undi, pemilih di Kimanis telah membuat keputusan muktamad parti dan calon mana yang akan diundi.

Dengan lokaliti yang secara relatifnya tidak terlalu luas serta hanya mempunyai sekitar 30 ribu pengundi, pengumpulan data yang sistematik daripada 380 pengundi sudah membolehkan pemenang sebenar P176 Kimanis diramal lebih awal sebelum fajar 18 Januari menjelang.

— Tulisan Dr Mohd Yusri Ibrahim, Ketua Penyelidik ILHAM Centre dipetik dari laman Facebook.

2 Komen

  1. Dr yusri kalau bentang analisis sebenar pasti ilham center tak bergaji tahun 2020 ni hahaha 🙂

  2. kah kah kan..ni bukan Ilham centre tapi Ilham bodoh! dah banyak kali si Nujum Yusri penjilat Nuar juburi ni duk keluarkan ilham setan dia tanpa asas..menonggeng ko kalah kat Kimanis..kah kah kah

Comments are closed.