Home Utama Saya tak masuk senarai ganti Maszlee – Anwar

Saya tak masuk senarai ganti Maszlee – Anwar

Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim (tiga kiri) hadir pada Program Pingat Emas Bagi Murid-Murid Cemerlang UPSR di MAEPS, Serdang, Selangor. foto SYAFIQ AMBAK, 05 JANUARI 2020

SERDANG – Datuk Seri Anwar Ibrahim memberitahu namanya tidak tersenarai untuk menggantikan Dr. Maszlee Malik sebagai Menteri Pendidikan yang baharu.

Namun jawapan yang diberikan itu diiringi senyuman lebar oleh Presiden PKR itu.

“Saya tidak masuk senarai,” katanya pendek pada sidang media selepas menghadiri Majlis Penganugerahan Pingat Emas kepada Murid-Murid Cemerlang UPSR SJKT Selangor di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas bahawa namanya ada disebut dan dicadangkan untuk menjadi pengganti kepada Maszlee.

Sebelum itu, Anwar memberi penghargaan kepada Ahli Parlimen Simpang Renggam itu kerana melaksanakan beberapa pembaharuan sepanjang 20 tahun menerajui Kementerian Pendidikan Malaysia.

Namun Ahli Parlimen Port Dickson agak terkilan kerana pencapaian Maszlee itu lebih banyak dibayangi isu kontroversi selama ini.

Ditanya sama ada peletakkan jawapan Maszlee itu menjadi penamat karier politik buat bekas ahli akademik itu, Anwar tidak bersetuju.

““Dia masih muda dan tentu ada harapan. Banyak orang yang berhenti patah balik. Perdana Menteri berhenti patah balik, saya pun patah balik. Bukan soal itu tetapi kesungguhan dan konsistensi dalam perjuangan,” katanya.

Mengulas kenyataanKetua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Dr Radzi Jidin bahawa Perdana Menteri tidak ada keperluan untuk membincangkan pelantikan seorang menteri dalam mana-mana mesyuarat khusus melainkan beliau sendiri berpandangan sedemikian, Anwar berkata, Tun Dr Mahathir Mohamad mempunyai hak untuk menentukan siapa yang akan menggantikan Dr Maszlee Malik sebagai Menteri Pendidikan.

Anwar berkata, perkara itu tertakluk kepada hak budi bicara Dr Mahathir selaku pemimpin nombor satu negara.

“Saya ingat dari segi konvensyen (untuk tentukan siapa pengganti) adalah kuasa budi bicara Perdana Menteri bagi mengisi kekosongan (Menteri Pendidikan).

“Tetapi perkara ini terserah kepada Perdana Menteri dan pimpinan Pakatan Harapan (PH), kalau hendak adakan perbincangan tetapi pada pendapat saya, kekosongan ini selalu diisi ikut budi bicara keputusan ditetapkan dulu (budi bicara Perdana Menteri),” katanya. – MalaysiaGazette