Home Nasional 1MDB: Jho Low nafi bertindak sebagai perancang utama

1MDB: Jho Low nafi bertindak sebagai perancang utama

Low Taek Jho atau lebih dikenali dengan panggilan Jho Low.
Low Taek Jho

KUALA LUMPUR – Ahli perniagaan yang menjadi buruan, Low Taek Jho (Jho Low) memberitahu beliau hanya bertindak sebagai perantara bagi tawaran yang melibatkan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan menafikan telah menetapkan peringkat tertentu untuk mencuri berbilion-bilion dolar daripada syarikat berkenaan.

Jho Low menghadapi pertuduhan di Amerika Syarikat dan Malaysia kerana melakukan penipuan membabitkan wang bernilai sehingga AS$ 4.5 bilion daripada 1MDB.

Ahli perniagaan ini secara konsisten menafikan salah lakunya dan mendakwa pertuduhan yang dikenakan ke atasnya bermotifkan politik.

“Individu dan syarikat bertindak sebagai pengantar atau pengantara sepanjang masa.

“Ini bukan keadaan yang unik, saya diminta untuk membantu kerana hubungan baik saya dengan ahli perniagaan dan pembuat-pembuat keputusan asing yang berpengaruh,” kata Low dalam satu wawancara dengan Straits Times Singapura.

Kepada soalan mengapa dia masih dalam buruan, Jho Low berkata, kerajaan Malaysia telah menjadikan dia dan keluarganya mangsa, mengabaikan “hak asasi manusia dan proses kehakiman yang adil” dengan mencipta dirinya sebagai dalang di sebalik skandal itu.

Jho Low berkata, “hubungan profesionalnya” telah membantu Malaysia membina hubungan kukuh dengan sekutu utama, terutama Arab Saudi, meningkatkan kuota haji bagi umat Islam Malaysia dan pelaburan dalam sektor kewangan, hartanah dan lain-lain di negara Asia Tenggara.

Namun, dia enggan mendedahkan lokasi semasa tetapi mengesahkan beliau ditawarkan suaka pada Ogos tahun lalu. Tetapi Jho Low tidak menamakan negara yang menawarkan suaka itu.

Pada bulan November, pihak berkuasa Amerika Syarikat melaksanakan perjanjian dengan Jho Low untuk memperoleh AS$1 bilion dana yang didakwa dicuri dari 1MDB, termasuk jet peribadi, hartanah mewah di Beverly Hills, New York dan London dan aset lain.

Perjanjian itu tidak termasuk pengakuan salah atau tidak bersalah serta tidak terikat pada tindakan jenayah terhadap Jho Low.

Tambahnya, pada masa ini beliau merancang untuk memberi tumpuan kepada pelaburan dalam penyelidikan kanser yang canggih.

“Saya akan menghargai peluang untuk menghidupkan kembali pendekatan dermawan saya dan memberi kembali kepada masyarakat dan membantu orang lain dengan apa juga yang saya peroleh,” ujarnya. – MalaysiaGazette