KUALA LUMPUR – Ajak Shiro mengumumkan undur diri mengacarakan Melodi yang bersiaran setiap Ahad.
Pelawak itu berkata, keputusan tersebut dibuat demi meluangkan lebih masa dengan keluarganya.
“Kalau ada yang tanya kenapa saya ambil keputusan ini, semuanya kerana keluarga. Buat masa ini saya perlu lebih banyak meluangkan masa bersama keluarga,” katanya.
Dalam masa yang sama Ajak berkata bakal kembali bersiaran Suria FM sebagai penyampai bersama-sama dengan Fizi Ali dan Issey untuk Team Pagi Suria.
“Lagi pun saya kini sudah kembali bergelar penyampai radio bersama Suria FM dan akan bertugas dari Isnin hingga Jumaat. Jadi, hujung minggu akan saya gunakan sepenuhnya masa bersama mereka,” katanya lagi.
Ujarnya, hampir setahun berehat daripada bertugas sebagai penyampai radio, dia merasakan kini sudah tiba masanya untuk dirinya kembali.
“Kalau ikutkan tawaran daripada Suria FM ni sudah lama iaitu sebaik sahaja saya berhenti dengan stesen lama (Hot FM). Namun, saya rasa ketika itu masanya belum lagi sesuai.
“Saya melihat Suria FM ini sebuah stesen radio yang berpotensi besar untuk berkembang. Jadi, saya bersama dua penyampai lagi akan memastikan beberapa pembaharuan untuk menarik lebih ramai pendengar,” ujarnya.
Ajak dan Janna Nick mengacara Melodi sejak awal tahun 2018 menggantikan Awal Ashaari dan Azmir Selamat atau AG.-MalaysiaGazette