KUALA LUMPUR – Mana program yang dirangka kerajaan selepas PRU-14 bagi melahirkan masyarakat produktif?
Itu persoalan Presiden MCA Datuk Seri Wee Ka Siong.
Ia susulan kenyataan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini yang berkata, kemiskinan berlaku kerana rakyat tidak produktif dan tidak menyumbang sesuatu kepada masyarakat.
“Apakah yang kerajaan PH buat? Apakah program yang ditawarkan untuk melahirkan masyarakat yang produktif?
“Adakah projek kereta terbang itu contoh program produktif untuk golongan berpendapatan rendah?” tanya Ka Siong dalam satu hantaran di Facebook hari ini.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Air Hitam berkata, sejak PH memerintah, ekonomi negara dilihat merudum teruk menyebabkan banyak pelabur menjauhkan diri dan terdapat syarikat terpaksa gulung tikar.
Beliau berkata, situasi itu berbeza ketika pemerintahan Barisan Nasional (BN) kerana ekonomi berkembang pesat ketika itu.
Mengambil contoh dasar Model Baru Ekonomi (MBE) Ka Siong berkata, BN memberi tumpuan kepada usaha merangsang pertumbuhan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) melalui inisiatif itu.
Selain itu katanya, di bawah kerajaan sebelum ini juga terdapat Program Transformasi Ekonomi (ETP) bagi membantu ekonomi rakyat.
“Saya sendiri pernah bertanggungjawab membantu para peniaga kecil dan sederhana menerusi program yang dianjurkan kerajaan BN,” katanya.- MalaysiaGazette