Home Nasional Ops Blue Devils banteras pegawai polis terlibat dadah

Ops Blue Devils banteras pegawai polis terlibat dadah

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Mohd Khalil Kader Mohd bercakap pada sidang media khas di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 06 JANUARI 2020.

KUALA LUMPUR – Awas kepada penjawat awam termasuk anggota polis serta yang terlibat aktiviti jenayah berkaitan dadah di negara ini.

Ini kerana Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan melancarkan Operasi Leberopurus atau Sapu Bersih melibatkan penjawat awam dan operasi Blue Devils yang memfokuskan kepada pegawai dan anggota polis yang terlibat dalam aktiviti dadah.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Mohd Khalil Kader Mohd berkata, Ops Sapu Bersih akan dilancarkan dalam masa terdekat.

“Kita ada sembilan operasi khusus dan dua program lain untuk mempertingkatkan kecekapan operasi narkotik serta memerangi dadah.

“Paling penting yang kita akan lancarkan dalam masa terdekat ialah Operasi Leberopurus atau Sapu Bersih dan ini melibatkan orang dalam sektor awam yang terlibat dengan dadah.

“Polis sudah menulis surat kepada semua ketua-ketua jabatan dan bersama-sama akan surface mereka yang terlibat dengan dadah akan diambil tindakan tegas,” katanya dalam sidang media Khas Pencapaian 2019 dan sasaran 2020 PDRM di Bukit Aman hari ini.

Mohd Khalil menegaskan, dua program lagi ialah antaranya program murni dan Naziran by Nite yang mana dilaksanakan mana mana daerah terpilih bermula pukul 5 petang hingga 12 malam untuk mana-mana pegawai dan anggota narkotik yang didapati tidak menjalankan tugas.

“Ia akan memastikan tindakan disiplin akan dikenakan pada masa yang sama memperbaiki tahap perkhidmatan mereka demi mempertingkatkan penyampaian dan penguatkuasaan integriti polis sentiasa pada tahap tinggi,” tegasnya.- MalaysiaGazette

+ posts