Home Politik PRK Kimanis referendum rakyat Sabah tolak PSS

PRK Kimanis referendum rakyat Sabah tolak PSS

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan (tengah) berucap pada ceramah bersama penduduk sempena kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) P.176 Kimanis di PDM Bandau, Kimanis, Sabah. foto FAREEZ FADZIL, 06 JANUARI 2020

BEAUFORT – Rakyat Sabah akan menyalahkan pengundi Parlimen Kimanis sekiranya mereka memenangkan calon Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Karim Bujang pada 18 Januari ini.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Abdul Rahman Dahlan menegaskan, satu undi kepada Warisan adalah satu undi kepada pelaksanaan Pas Sementara Sabah (PSS) yang memberi kelebihan kepada warga asing.

“Jangan jalankan PSS pada Jun ini, kalau rakyat tak beri amaran, seluruh rakyat Sabah akan terkilan dengan rakyat Kimanis kerana tidak menolak PSS.

“Kalau beri kemenangan kepada Warisan, seluruh rakyat akan berasa bahaya.

“Yang boleh hentikan PSS adalah pengundi-pengundi di Kimanis,” katanya berucap pada Ceramah Pusat Daerah Mengundi (PDM) Bandau, di sini, hari ini.

Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan memperkenalkan PSS bagi menggantikan tiga dokumen warga asing di negeri ini pertengahan tahun jni.

Tiga dokumen itu ialah kad Burung-Burung, Sijil Banci dan IM13 yang akan digantikan dengan PSS.

Dalam pada itu, Abdul Rahman juga menegaskan, sepatutnya Kerajaan Negeri Sabah menghantar pendatang asing ini ke negara asal dan bukannya memberi kelonggaran untuk terus berada di Sabah.

“Ketua Menteri Sabah kata PSS penting, saya kata tak penting, jangan pentingkan pendatang asing, sepatutnya jaga kebajikan rakyat.

“PSS ini diberi tempoh tiga tahun, selepas itu pendatang asing boleh perbaharui pas ini.

“Sepatutnya biar mereka rasa keperitan dan balik ke negara meraka,” katanya.

Katanya lagi, pengenalan PSS dipercayai boleh mengancam ekonomi tempatan rakyat Sabah lebih-lebih lagi ketika segala macam bantuan dipotong.

“Kita mahu beri bukan PSS tapi patut hantar mereka ke negara asal mereka.

“Sekarang ekonomi teruk kita terpaksa berebut dengan pendatang asing, kita terpaksa berebut cari kerja dengan wagra asing,” katanya lagi. – MalaysiaGazette