KUALA LUMPUR – Pengerusi Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER), Tan Sri Dr Kamal Mat Salih meletakkan sebagai pengerusi Universiti Malaysia Sarawak (Unimas).
Keputusan itu dibuat ekoran kritikan pelbagai pihak selain rasa tidak puas hati kerajaan negeri Sarawak yang tidak dirunding terlebih dahulu berhubung pelantikan itu.
“Saya dengar daripada sesetengah pihak bahawa kerajaan Sarawak mahukan rakyat Sarawak. Saya fikir semua orang tahu itu dan mereka menyuarakan rasa tidak puas hati kerana tidak dirundingi berhubung pelantikan saya.
“Saya tidak mahu terlibat dalam politik. Saya hanya mahu menyumbang,” katanya seperti yang dilaporkan portal FMT hari ini.
Kamal yang pernah menjadi ahli Parlimen Wangsa Maju dari 1996 hingga 1999 dilantik bagi menggantikan Sulong Matjeraie, yang tempoh jawatannya sepatutnya tamat pada April tahun depan.
Baru-baru ini, Pejabat Ketua Menteri Sarawak dalam kenyataannya berkata, pihaknya akan meminta penjelasan daripada Kerajaan Pusat berhubung perkembangan terbaharu itu.
Baca: Lantik Dr Kamal Pengerusi Lembaga Pengarah UNIMAS: Kerajaan Sarawak tidak dirujuk
Menurut kenyataan itu lagi, amalan sebelum ini Pengerusi Lembaga Pengarah UNIMAS hanya dilantik selepas perbincangan dibuat dengan kerajaan negeri, namun tiada sebarang pemakluman dibuat sebelum pelantikan Dr Kamal diumumkan di media.
Proses tersebut telah bermula sejak pelantikan Pengerusi pertama, Tan Sri Amar Bujang Mohd Nor, pengerusi kedua, Datu Dr Hatta Sloi dan pengerusi ketiga, Tan Sri Panglima Sulong Matjeraie di mana perkhidmatannya tamat pada 30 April 2021. – MalaysiaGazette