WASHINGTON – Presiden Donald Trump tidak menjangkakan pemimpin Korea Utara, Kim Jong Un akan memungkiri janji berhubung usaha untuk menghapuskan nuklear walaupun mengakui kemungkinan itu ada.
Minggu lalu Kim berkata, tidak ada lagi alasan bagi Pyongyang untuk terikat dengan perjanjian bagi menangguhkan ujian peluru berpandu balistik antara benua dan ujian bom nuklear.
Ini bermakna “senjata strategik baru” akan diperkenalkan dalam masa terdekat.
“Saya tidak fikir dia akan melanggar janjinya kepada saya, tetapi mungkin dia akan (berbuat demikian),” kata Trump kepada pemberita di Air Force One ketika dia kembali ke Washington selepas berada dua minggu di Florida.
Trump merupakan Presiden Amerika Syarikat pertama yang bertemu dengan pemimpin Korea Utara itu menyifatkan Kim adalah “individu yang melaksanakan kata-katanya”.
Bulan lalu, Pyongyang memberi amaran kepada Washington tentang “hadiah Krismas” selepas Kim memberi tempoh kepada Amerika Syarikat sehingga akhir tahun untuk mencadangkan konsesi baru dalam perbincangan mengenai senjata nuklear negara itu.
Bercakap dengan pemberita pada minggu lepas, Mark Milley memberi amaran bahawa Amerika Syarikat sudah bersedia untuk bertindak balas terhadap apa sahaja yang berlaku dan pertahanan ketenteraan memiliki keupayaan yang tinggi untuk mempertahankan Amerika Syarikat. – MalaysiaGazette