KUALA LUMPUR – Dakwaan sesetengah yang mengatakan
Menteri Pertahanan memungkiri janjinya dengan memberikan
pangkat kehormat kepada ahli politik tidak timbul.
Kementerian Pertahanan dalam satu kenyataan hari ini berkata, pangkat yang diberikan Mohamad Sabu kepada penaung Jawatankuasa Pendukung Askar Wataniah (JAKPAW) adalah atas kapasiti kedudukan jawatan yang disandang.
“Jawatan yang melayakan mereka diberi pangkat kehormat dan bukanya atas kapasiti latarbelakang parti politik. Ini kerana pangkat kehormat ini turut diberikan kepada Menteri Besar atau
Ketua Menteri dari parti pembangkang,” kata kenyataan yang sama.
Penaung JAKPAW di setiap negeri adalah Menteri Besar/Ketua Menteri dan mereka dilantik oleh Menteri Pertahanan menerusi kelulusan Majlis Angkatan Tentera (MAT) dengan diperuntukkan pangkat Brigediar Jeneral (Kehormat).
Selain daripada itu, perjawatan Pengerusi JAKPAW dikhususkan kepada Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri. Pelantikan Pengerusi JAKPAW dibuat oleh Menteri Besar/ Ketua Menteri/ Menteri Wilayah Persekutuan dengan diperuntukkan pangkat Kol (Kehormat).
“Kesemua perjawatan tauliah kehormat ini perlu mendapat kelulusan MAT dan perkenan Yang di-Pertuan Agong terlebih dahulu sepertimana yang termaktub dalam Seksyen 198, Akta Angkatan Tentera 1972.
Perjawatan tauliah kehormat boleh ditamatkan sekiranya penyandangnya melakukan kelakuan yang boleh mencemarkan nama baik Angkatan Tentera Malaysia atau tidak lagi menyandang jawatan mereka.
Mohamad sebelum ini pernah menyatakan tidak memberi pingat atau jawatan kehormat kepada ahli-ahli politik.- MalaysiaGazette