Home Nasional Permohonan Ku Nan gantung prosiding saman LHDN didengar 24 Feb

Permohonan Ku Nan gantung prosiding saman LHDN didengar 24 Feb

Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor. foto SYAFIQ AMBAK, 14 OKTOBER 2019

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi hari ini menetapkan 24 Febuari akan datang untuk mendengar permohonan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor untuk menggantung prosiding kes saman Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) terhadapnya.

Perkara itu ditiputuskan oleh Datuk Azimah Omar dalam kamar.

“Tidak ada apa-apa hari ini hanya pengurusan kes. Yang mana ditetapkan 24 Febuari untuk permohonan defenden,” kata peguam bela Tengku Adnan, S. Satharuban ketika ditemui selepas pengurusan kes.

Permohonan itu dibuat Ku Nan sementara rayuannya terhadap penilaian pentaksiran semula cukai LHDN selesai.

Terdahulu LHDN menuntut bekas Menteri Wilayah Persekutuan itu membayar RM57.17 juta cukai pendapatan yang tidak dibayar sejak 2012 sehingga 2017.

Jumlah itu ialah RM64,444.38 (2012); RM6,614,861.59 (2013); RM8,887,576.69 (2014); RM9,198,523.67 (2015); RM5,520,818.05 (2016); dan RM26,880,844.97 (2017).

Oleh itu, plaintif menuntut daripada defendan jumlah RM57,167,069.35, faedah atas jumlah RM57,167,069.35 pada kadar lima peratus setahun dari tarikh penghakiman sehingga tarikh realisasi, kos dan lain-lain relif yang disifatkan sesuai oleh mahkamah.

Tengku Adnan, yang juga bekas Setiausaha Agung UMNO kemudian memohon untuk menggantung prosiding kes itu sementara rayuannya terhadap penilaian semula taksiran cukai kepada LHDN selesai.

Bagaimanapun pada 4 November yang lalu beliau menarik balik permohonannya untuk membatalkan penghakiman terus yang dimohon LHDN. 

Dalam perkembangan  berkaitan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkaitan lembaga itu juga, Mahkamah Tinggi hari ini menetapkan 24 Januari bagi mendengar permohonan bekas Perdana Menteri itu untuk menangguhkan prosiding saman  LHDN terhadapnya untuk membayar cukai pendapatan berjumlah RM1.69 bilion.

Peguam Najib, Muhammad Farhan Muhammad Shafee, memaklumkan tarikh itu kepada pemberita selepas berakhirnya pengurusan kes dalam kamar Hakim Ahmad Bache.

Muhammad Farhan berkata tarikh bagi pendengaran permohonan LHDN untuk mendapatkan penghakiman ringkas terhadap Najib masih belum ditetapkan mahkamah.

Pada 8 Ogos tahun lepas, Najib memfailkan permohonan untuk menangguhkan prosiding saman LHDN yang menuntut beliau membayar cukai pendapatan berjumlah RM1.69 bilion sementara menunggu rayuannya berhubung taksiran cukai kepada LHDN.-MalaysiaGazette