Home Dunia FAA larang guna ruang udara Iran, Iraq

FAA larang guna ruang udara Iran, Iraq

WASHINGTON – Pentadbiran Penerbangan Persekutuan Amerika Syarikat (AS) akan melarang pesawat-pesawat Amerika Syarikat daripada menggunakan ruang udara Iraq, Iran dan Oman.

Larangan sama juga dikenakan di perairan antara Iran dan Arab Saudi selepas Tehran melancarkan serangan ke atas pangkalan tentera AS di Iraq.

Tehran melepaskan lebih 12 peluru berpandu dari wilayah Iran ke pangkatan tentera AS di Iraq, menurut tentera AS.

Menurut FAA ia mengeluarkan larangan udara “disebabkan peningkatan aktiviti ketenteraan dan ketegangan politik di Timur Tengah, yang menunjukkan risiko untuk operasi penerbangan awam AS.”

Beberapa syarikat penerbangan bukan AS mempunyai penerbangan ke bahagian Iraq dan Iran pada masa itu, menurut data FlightRadar24.

Syarikat-syarikat penerbangan itu tidak terjejas secara langsung dengan larangan FAA, tetapi syarikat penerbangan biasanya akan memberi pertimbangan nasihat AS dengan berhati-hati ketika memutuskan di mana hendak terbang.

Sebelum panduan terakhir, FAA telah melarang syarikat penerbang AS dari terbang di bawah 26,000 kaki di atas Iraq dan terbang di atas kawasan ruang udara Iran di atas Teluk dan Teluk Oman sejak Iran menembak jatuh dron AS pada Jun lalu.

Singapore Airlines Ltd berkata, syarikat itu akan mengalihkan operasinya daripada menggunakan ruang udara Iran.

Pasukan penerbangan antarabangsa telah diaktifkan untuk menyokong “penyelarasan dan komunikasi yang berkesan” antara syarikat penerbangan dan negara-negara memandangkan ketegangan di Timur Tengah semakin meningkat selepas dron milik AS membunuh komander tentera Iran, Qassem Soleimani, menurut Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA).

Syarikat penerbangan dan agensi penerbangan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu telah mula memantau ruang udara strategik Iran dan Iraq.

Bagi beberapa syarikat penerbangan komersial masih berkhidmat di negara-negara tersebut dan lain-lain syarikat penerbangan yang menggunakan ruang udara mereka, IATA telah mengeluarkan kenyataan yang mengingatkan negara-negara berkenaan tentang potensi risiko kepada penerbangan awam. – MalaysiaGazette