Home Ekonomi MoF sasar RM155b kutipan cukai LHDNM tahun ini

MoF sasar RM155b kutipan cukai LHDNM tahun ini

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng selepas hadir pada sidang media selepas melawat Kaunter Setempat LHDN sempena Hari Bertemu Pelanggan LHDNM di Kaunter Setempat Tingkat 1, Blok 8A, Jalan Tuanku Abdul Halim, Kuala Lumpur . foto NOOREEZA HASHIM, 08 JANUARI 2020.

KUALA LUMPUR – Kementerian Kewangan mensasarkan kutipan cukai Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM) bagi tahun 2020 ini sebanyak RM155 bilion.

Ia merupakan peningkatan sebanyak 5% berbanding RM147 bilion tahun lalu.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, prestasi kutipan kasar cukai langsung negara bagi tahun 2019 oleh LHDNM ialah RM145.078 bilion.

Kutipan bagi tahun 2019 ini merekodkan peningkatan hampir 6% atau melebihi RM8 bilion berbanding kutipan tahun 2018, sekaligus telah mencipta satu lagi sejarah baharu kutipan hasil cukai langsung negara apabila mengatasi
pencapaian terbaik tahun 2018 iaitu sekitar RM137 bilion.

“Peningkatan hasil ini menunjukkan bahawa pertumbuhan ekonomi negara masih mampan dalam tahun 2019 dan juga tahun ini.

“Di samping itu, strategi kerajaan yang berkesan sepanjang tahun 2019 seperti aktiviti penguatkuasaan cukai yang lebih profesional, program pendidikan cukai yang berfokus dan pelaksanaan Program Khas Pengakuan Sukarela
(PKPS) yang diperkenalkan melalui pembentangan Bajet 2019 oleh Kementerian Kewangan turut meningkatkan keyakinan rakyat untuk menjalankan tanggungjawab membayar cukai,” katanya ketika berucap di majlis LHDNM bertemu pelanggan di sini.

Menurutnya, LHDNM akan terus melaksanakan undang-undang percukaian dengan efisien untuk meningkatkan lagi keberkesanan aktiviti penguatkuasaan bagi menangani isu ekonomi bayangan yang dianggarkan berada pada sekitar 20% daripada saiz Keluaran Dalam Negara Kasar.

Selain itu, LHDNM juga akan meningkatkan kekerapan sesi libat urus dan aktiviti pendidikan cukai bersama semua pihak yang berkepentingan bagi meningkatkan kesedaran dalam kalangan masyarakat seperti program Hari Bertemu Pelanggan yang diadakan pada hari ini.

Mengulas Hari Bertemu Pelanggan, Guan Eng berkata, ia anjuran bersama Kementerian Kewangan Malaysia.

Program secara mingguan ini akan diadakan pada setiap hari Rabu bermula hari ini di Kaunter Setempat Tingkat 1, Blok 8A, Kompleks Bangunan Kerajaan, Jalan Tuanku Abdul Halim, Kuala Lumpur.

Program ini merupakan inisiatif bersama bagi memudahkan urusan percukaian dan merupakan platform tambahan untuk menerima dan mendengar segala masalah atau aduan berkaitan dengan isu-isu cukai langsung yang dihadapi oleh pembayar cukai, ujarnya. – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.