Home Nasional Perdamaian di tiga wilayah tidak tercapai selagi tiada persefahaman

Perdamaian di tiga wilayah tidak tercapai selagi tiada persefahaman

Temubual bersama Pembantu Profesor Pengajian Melayu Politik Warisan Prince of Songkla Pattani, Dr. Faisol Awang di Pattani, Thailand. foto HAZROL ZAINAL, 07 JANUARI 2020.

PATTANI – Perdamaian di tiga daerah di selatan Thailand tidak akan tercapai selagi tidak ada persefahaman yang optimum antara masyarakat berbilang kaum di negara ini.

Perkara tersebut tertakluk kepada latar belakang ilmu, yang mana ia perlu kepada pemahaman terhadap persefahaman maksud kawasan atau wilayah yang perlu dikongsi bersama.

Itu pandangan Pembantu Profesor Pengajian Melayu Politik Warisan Prince of Songkla Pattani, Dr Faisol Awang yang memberitahu, kajiannya tentang itu mendapati masyarakat di tiga wilayah bergolak iaitu Pattani, Yala dan Narathiwat tidak sefahaman.

“Setakat ini kita belum ada satu space (ruang) yang di dalam teori saya menggunakan command space yang mestinya ada command ground ground.

“Apabila kita tidak faham bahawa command ground yang boleh kita buka command space, itu yang jadi masalah,” katanya ketika ditemui dalam satu temubual dengan media Malaysia di sini hari ini.

Disebabkan itu katanya, walaupun kerajaan Thailand cuba untuk membuat sesuatu yang dilihat boleh mewujudkan perdamaian namun sekiranya dasar persefahaman itu tidak disemai usaha yang dilakukan tetap akan gagal.

Katanya, semua itu berlaku kerana ada dua pihak yang mempunyai matlamat berbeza iaitu satu pihak mahu mempertahankan daulah manakala satu pihak lagi ingin mengembalikan daulah yang asli berdasarkan impian.

Tambah beliau, tidak boleh ada agenda yang tersembunyi dalam mencari perdamaian bagi merungkai konflik di selatan Thailand kerana jika elemen itu masih ada, ia akan menyebabkan segala usaha yang dibuat menjadi sia-sia.

Mengulas lanjut mengenai dasar persefahaman itu, Faisol berkata, jika generasi Melayu yang berada di tiga daerah berkenaan memiliki ilmiah untuk hidup dalam abad baharu ini maka hasrat mahu mengembalikan kedamaian bukan sesuatu yang mustahil.

Tetapi, jika mereka masih terlalai dengan impian lama, kemungkinan hidup mereka tidak akan dapat diubah danĀ  perdamaian yang cuba dikecapi juga tidak akan tercapai.

“Mereka tidak akan ke depan dengan harapan yang lama. Tetapi kenyataan mesti berjalan. Walaupun ia ada hanya sedikit tetapi ia tetap bergerak.

“Bagaimanapun, hasrat beberapa pihak untuk menjayakan dasar itu (persefahaman) akan menjadi satu harapan yang besar,” ujarnya. – MalaysiaGazette