Home Politik PSS bakal tangani kegagalan BN selesai masalah PATI di Sabah

PSS bakal tangani kegagalan BN selesai masalah PATI di Sabah

Datuk Karim Bujang
Calon Parti Warisan Sabah (WARISAN), Datuk Karim Bujang bercakap kepada media selepas sesi walkabout sempena kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) P.176 Kimanis di Kampung Kelatuan, Kimanis, Sabah. foto FAREEZ FADZIL, 08 JANUARI 2020

KIMANIS – Barisan Nasional (BN) cuba menutup kegagalannya menangani isu pendatang tanpa izin di Sabah dengan menyalahkan pentadbiran Parti Warisan Sabah (Warisan) yang memperkenalkan Pas Sementara Sabah (PSS).

Calon Warisan, Datuk Karim Bujang menegaskan, Kerajaan BN sepatutnya dipersalahkan, bukannya Warisan yang cuba menyelesaikan masalah itu sejak berpuluh tahun lalu.

“Cadangan untuk mengeluarkan PSS lebih baik daripada tidak melakukan apa-apa.

“Ini yang dibuat oleh kerajaan lepas, mereka mengetahui masalah itu dan sebenarnya PSS itu ideanya datang daripada kerajaan lepas, mereka yang buat kajian.

“Mana cadangan baik, walaupun ia datang daripada parti yang sudah kalah, Warisan akan cuba laksanakan.

“Buat sesuatu lebih baik daripada tidak melakukan apa-apa,” katanya pada sidang media selepas melakukan Walkabout di PDM Batu Enam, hari ini.

Dalam pada itu, Karim juga berkata, Kerajaan Negeri Sabah cuba menambahbaik tiga dokumen untuk pendatang asing yang diperkenalkan dalam pentadbiran lalu.

“Berpuluh tahun Sabah menjadi mangsa kepada masalah kedatangan pendatang tanpa izin yang tidak terkawal.

“Rancangan untuk pendatang asing ini dengan 3 kad berbeza dapat kita panggil balik supaya apa yang tidak betul itu kita perbetulkan,” katanya.

Menurut Karim, cadangan PSS tidak sepatutnya dipolitikkan dan ia adalah masalah pentadbiran kerajaan lalu.

“Kita orang politik kena bagi peluang kepada pihak pentadbiran untuk melakukan yang terbaik.

“Kita hanya lihat dan bantu dari segi dasarnya.

“Sebagai orang Sabah dan saya cintakan negeri ini, kita berilah peluang kepada usaha untuk menyelesaikan masalah yang sudah berlanjutan berpuluh tahun ini,” katanya lagi. – MalaysiaGazette