Home Sukan Dunia samudera Hasslan

Dunia samudera Hasslan

Jurulatih pasukan MY Gadis, Hasslan ismail pada hari kedua Kejuaraan Regatta Antarabangsa Diraja Langkawi ke 18 di Royal Langkawi Yacht Club, Langkawi. foto AFFAN FAUZI, 08 JANUARI 2020

LANGKAWI – Ketika ramai beriadah dengan melakukan aktiviti di darat seperti mendaki dan menyertai larian, bagi lelaki ini lautan luas menyajikan keindahan luar biasa untuk dia menikmatinya.

Hasslan Ismail, 60, pada awalnya hanya melakukan aktiviti skuba bagi mengisi waktu lapang tetapi sejak 10 tahun, minatnya telah beralih untuk menjadi jurulatih kapal layar.

Kata anak kedua daripada lapan beradik itu, apa yang dilakukannya kerana ingin berkongsi ilmu yang dimiliki sejak zaman remaja bergelumang di lautan.

“Kebetulan saya tidak dikurniakan anak, jadi kepada siapa ilmu hendak saya turunkan.

“Jadi bagi mereka yang berminat menjadi pelayar, saya bersedia berkongsi pengalaman yang saya ada.

“Saya mahu memberi galakan kepada anak-anak muda menyertai aktiviti rekreasi itu kerana memberi faedah kepada gaya hidup dan sebagai kemahiran untuk menambah pendapatan pada masa depan,” katanya kepada MalaysiaGazette di sini hari ini.

Jurulatih pasukan MY Gadis, Hasslan Ismail bergambar dengan isterinya, Eyta pada hari kedua Kejuaraan Regatta Antarabangsa Diraja Langkawi ke 18 di Royal Langkawi Yacht Club, Langkawi. foto AFFAN FAUZI, 08 JANUARI 2020

Hasslan kini menjadi jurulatih kepada pasukan MY Gadis iaitu satu-satunya pasukan yang ke semua pelayarnya adalah wanita yang sedang menyertai Kejuaraan Regatta Antarabangsa Diraja Langkawi (RLIR) Belt & Road yang bermula Selalu lalu hingga Sabtu ini.

Pada masa sama isterinya, Zanarita Nasir, 49, juga merupakan salah seorang pelayar bagi MY Gadis.

Hasslan menambah, sebagai orang yang berpengalaman dia tidak pernah memaksa anak-anak muda menyertai aktiviti ini tetapi minat mereka akan bercambah sekiranya tahu keseronokan tersendiri terutama melihat hidupan marin secara dekat dan berada di lautan yang luas.

“Memandangkan saya mempunyai kepakaran mengajar aktiviti ini, ia turut menjadi kelebihan untuk mengeratkan hubungan bersama isteri.

“Sekiranya dipanjang umur, saya mahu terus berkecimpung di dunia lautan ini walaupun usia mencecah 80 tahun,” katanya bersungguh-sungguh. – MalaysiaGazette

Aksi mesra jurulatih pasukan MY Gadis, Hasslan Ismail bersama isterinya Eyta pada hari kedua Kejuaraan Regatta Antarabangsa Diraja Langkawi ke 18 di Royal Langkawi Yacht Club, Langkawi. foto AFFAN FAUZI, 08 JANUARI 2020