WASHINGTON – Serangan peluru berpandu oleh Iran semalam bertujuan untuk membunuh askar-askar Amerika Syarikat (AS) di pangkalan udara al-Asad Iraq.
Jeneral tentera AS, Mark Milley dalam kenyataannya mencadangkanTehran telah dan mungkin masih bersedia untuk mengambil risiko tindak balas AS.
Beliau bagaimanapun tidak bersedia untuk menyatakan sama ada Iran telah ‘selesai’ dengan serangan yang tidak disangka di dua pangkalan tentera AS di Iraq yang menempatkan tentera-tentera dari AS, Kanada, Denmark dan United Kingdom serta negara-negara lain.
Ditanya apakah kemungkinan Iran melihat serangan ini sebagai misi yang tidak lengkap, memandangkan kurangnya jumlah kematian dalam kalangan askar AS, Milley berkata: “Saya fikir ia mungkin terlalu awal untuk dimaklumkan”.
Milley berkata, beliau dan lain-lain dalam tentera menjangkakan serangan akan dilakukan oleh kumpulan Syiah di Iraq.
Kenyataan itu dibuat selepas beberapa jam Presiden Donald Trump berkata, Iran ‘berehat’ selepas melepaskan peluru berpandu pada pangkalan tenteranya di Iraq.
Serangan itu dibuat selepas selesai pengebumian jeneral Iran, Qassem Soleimani yang diserang dengan dron di Lapangan Terbang Antarabangsa Baghdad pada minggu lepas.
Menteri Luar Iran, Mohammad Javad Zarif berkata, serangan itu ‘menyimpulkan’ maklum balas Tehran ke atas pembunuhan Soleimani pada 3 Januari lalu.
Pemimpin tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei dalam satu perhimpunan mengucapkan “Kematian ke Amerika,” memberitahu serangan peluru berpandu itu adalah “tamparan di muka” Amerika Syarikat dan menegaskan tentera AS harus meninggalkan wilayah itu.
Trump pula berkata, AS tidak semestinya perlu bertindak secara ketenteraan terhadap serangan Iran.
Namun, Setiausaha Pertahanan Mark Esper meminta askar-askar AS bersiap-sedia. – MalaysiaGazette