KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak akan membuat permohonan mendapatkan rakaman klip audio yang didakwa perbualan beliau dengan beberapa individu berkaitan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan SRC International Sdn Bhd (SRC).
Kedua-dua kes yang disebut itu kini sedang dibicarakan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur sejak tahun lepas.
Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mengetuai pasukan pembelaan Najib hari ini ketika bermulanya prosiding pembelaan SRC International memberitahu, pihaknya akan memfailkan permohonan mendapatkan rakaman tersebut.
Muhammad Shafee yang bangkit bangun memberitahu Hakim Mahkamah Tinggi, Mohd Nazlan Mohd Ghazali hari ini bahawa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah membuat pendedahan audio berkait dengan kedua-kes berprofil tinggi yang boleh membantu anak guamnya.
“Semalam, SPRM telah dedahkan kepada seluruh tentang rakaman audio telefon. Pada pengamatan kami, hampir majoriti daripada kandungan itu boleh digunakan untuk pembelaan kes anak guam.
“Kita akan failkan permohonan pada masa terdekat bagi mendapatkan audio itu,” katanya pada perbicaraan SRC International yang masuk hari ke-69 hari ini.
Timbalan Pendakwa Raya, Datuk V. Sithambaram belum dapat memberikan kata putus sama ada untuk membantah atau sebaliknya kerana masih lagi dalam proses meneliti permohonan tersebut hari ini.
Semalam, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Latheefa Koya mendedahkan nama 20 individu yang perbualan mereka dirakam, sama ada terbabit dalam perbualan atau disebut dalam rakaman perbualan berkaitan skandal dana 1MDB dan SRC.
Senarai itu termasuk beberapa tokoh asing, diperoleh daripada sembilan set rakaman perbualan berdurasi keseluruhan 45 minit yang diperdengarkan SPRM pada satu sidang media.
Semua rakaman percakapan yang didedahkan itu berlaku antara 5 Januari hingga 29 Julai 2016 – diperoleh SPRM pada awal tahun ini daripada entiti yang tidak didedahkan dan agensi antirasuah itu yakin rakaman terbabit adalah tulen.
Sejurus selepas itu, Najib serta Muhammad Shafee tampil melahirkan rasa terkejut dengan tindakan SPRM dan Latheefa selain sedang menimbangkan tindakan ke atas agensi anti rasuah itu pada masa terdekat.
Semalam, Najib melahirkan rasa hairan dan terkejut bagaimana sebuah agensi seperti SPRM boleh membuat pendedahan serta pengesahan ketulenan audio rakaman itu tanpa penyiasatan polis terlebih dahulu.
“Kenapa SPRM dedahkan rakaman yang dibuat secara haram, tidak sah, tiada rule of law?
“Kenapa rakaman yang tidak diketahui sumber dan belum disahkan kandungannya, rakaman yang melibatkan pemimpin tertinggi serta kerabat raja negara asing dan rakaman untuk kes yang bukan di bawah bidang kuasa SPRM tetapi PDRM?
“Dan kenapa SPRM menghina mahkamah semasa kes 1MDB sedang dibicarakan? Apakah SPRM kini sudah menjadi mahkamah?,” tulisnya dalam Facebook beliau semalam. –MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN:
SPRM dedah siri rakaman perbualan Najib dan beberapa individu termasuk dari UAE